Malaysia masih jadi tempat pembuangan sampah plastik, sisa elektronik


Malaysia masih menjadi tempat pembuangan sampah untuk plastik dan sisa elektronik dari negara kaya termasuk AS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2024.

MALAYSIA terus menjadi tempat pembuangan sampah untuk plastik dan sisa elektronik dari negara kaya termasuk Amerika Syarikat (AS), kata Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Setiausaha SAM Mageswari Sangaralingam berkata trend itu sedang meningkat walaupun ada tekanan daripada pihak berkuasa dan NGO untuk menentang aktiviti pembuangan haram global bagi bahan tidak boleh dikitar semula seperti plastik dan komponen elektronik.

Mageswari berkata tindakan lebih tegas perlu diambil memandangkan ejen tempatan bersubahat dengan sindiket antarabangsa untuk menyimpan secara haram bahan buangan itu di gudang di negara ini.

Awal hari ini, SAM mengeluarkan kenyataan bersama dengan Seattle-based Basel Action Network (BAN) berkenaan pembuangan toksik di negara membangun, terutama Malaysia.

“Kami mengalu-alukan agensi penguatkuasa bekerjasama dengan NGO di seluruh negara dan antarabangsa untuk menamatkan sindiket haram pembuangan sampah dan menggesa mereka tegas dalam menangani kemungkinan rasuah.”

Beliau berkata kontena berkenaan bukan saja perlu dihantar pulang tetapi semua pihak yang menyeludup atau membolehkan pembuangan sisa plastik itu berlaku, perlu dipertanggungjawabkan.

BAN adalah badan pemantau global yang berusaha untuk mencegah pembuangan sampah toksik oleh negara kaya dan industri di negara membangun.

Malaysia baru-baru ini mengumumkan rampasan 301 daripada 453 kontena di mana ia dikenal pasti oleh BAN dalam amarannya.

Daripada jumlah itu, 106 ditemui mengandungi sisa elektronik haram.

Pada sidang akhbar di Klang, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad memberikan penghargaan atas kerjasama BAN dan berkata baki 200 lagi kontena akan dibuka dan diperiksa. – 28 Jun, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen