PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad melantik tiga pemimpin tertinggi parti Pakatan Harapan (PH) untuk tiga jawatan menteri kanan.
Dr Mahathir mengumumkan sebentar tadi yang Muhyiddin Yassin akan menjadi menteri dalam negeri, Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan.
Beliau turut menjelaskan nama lain akan diumumkan selepas rundingan dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Selain itu, Dr Mahathir juga mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan (Council of Elders) yang dianggotai oleh bekas menteri, penjawat awam dan tokoh utama negara.
“Kumpulan individu unggul ini terdiri daripada Daim Zainuddin, Zeti Akhtar Aziz, Hassan Marican, Robert Kuok dan Dr Jomo Kwame Sundram,” katanya.
Sekretariat bagi pihak majlis itu adalah pakar ekonomi Dr Muhammad Abdul Khalid dan individu bertanggungjawab terhadap media adalah wartawan veteran Kadir Jasin.
Dr Mahathir berkata majlis itu dibentuk bagi mengkaji sebarang isu sebelum dibawa ke Kabinet untuk dibahaskan.
“Mereka akan melakukan kajian awal yang dikemukakan oleh pegawai dan pihak lain. Mereka akan melakukannya sebelummenyediakan kertas untuk Kabinet.”
Dr Mahathir menambah mereka akan mempercepatkan proses penyiasatan mengenai sesuatu perkara sebelum Kabinet penuh dibentuk.
Majlis itu juga akan membantu merealisasikan 100 janji PH dalam masa 100 hari dan kemudian akan dibubarkan, menurut satu kenyataan.
“Pasukan ini akan membantu membangunkan dasar dan rancangan untuk melaksanakan janji 100 hari PH kepada rakyat. Tempoh pasukan ini juga adalah 100 hari.” – 12 Mei, 2018.
Komen