NAJIB Razak tidak dapat mengelak daripada meletakkan jawatan selaku presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).
Beliau adalah perdana menteri Malaysia pertama yang kalah pilihan raya umum dan desakan untuknya meletak jawatan semakin kencang bertiup dalam parti itu termasuklah daripada sepupunya, Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein.
Nasib yang sama menimpa Abdullah Ahmad Badawi apabila hilang majoriti dua pertiga Parlimen dalam PRU2008, situasi yang dianggap sebagai hukuman kerana gagal melunaskan janji PRU2004.
Najib dilihat enggan mendengar desakan perletakan jawatan beberapa jam selepas kekalahan mengejutkan BN pada 9 Mei. Bekiay memberitahu rakan partinya yang kempen negatif Pakatan Harapan (PH) adalah punca rakyat mengundi untuk menyingkirkannya.
Beliau juga menggunakan alasan tindakan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah punca utama pengundi menyingkirkan kerajaan Malaysia sejak zaman Merdeka 1957 itu.
“Dia enggan untuk mengakui yang dialah punca kekalahan BN,” kata sumber Umno kepada Malaysia Decides.
Sumber itu turut mengesahkan yang Najib dan beberapa penasihat utamanya yakin dapat menarik beberapa wakil rakyat PH menyertai BN selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Tetapi usaha mereka gagal dan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri selepas penangguhan empat jam majlis upacara angkat sumpah pada malam Khamis di Istana Negara.
Dalam kumpulan borak parti komponen BN, pemimpin akar umbi meluahkan kemarahan kepada Najib dan menyalahkan beliau sehingga menyebabkan kekalahan ramai pemimpin BN termasuklah presiden MCA, MIC dan Gerakan kalah kepada calon PH.
“Najib dan 1MDB lah puncanya kami dan ketua kami kalah,” kata seorang ketua bahagian dalam kumpulan borak itu. – 12 Mei, 2018.
Komen