PRESIDEN Umno Najib Razak dijangka akan meletak jawatan sebagai ketua parti itu susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.
Menurut sumber, beliau akan mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti dan memaklumkan keputusan itu hari ini.
Terdahulu, timbalannnya Zahid Hamid ketika ditanya berkata Najib tidak akan mengekalkan jawatan tersebut.
“Beliau tidak akan kekal,” kata Zahid, seperti dipetik Channel News Asia.
Mesyuarat itu sedang berlangsung di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Tiga pemimpin sayap Umno – Khairy Jamaluddin, Shahrizat Abdul Jalil dan Mas Ermieyati Shamsuddin – sebelum itu dijadual mengadakan sidang media pada 2 petang ini di PWTC.
Bagaimanapun kemudian timbul kekeliruan apabila tersebar maklumat dalam kalangan media yang sidang media itu dipindahkan ke kediaman Najib di Taman Duta, Kuala Lumpur.
Beberapa minit selepas maklumat mengenai perubahan lokasi itu, satu lagi maklumat baru tersebar – sidang media berkenaan dikekalkan di tempat asal di ibu pejabat Umno.
Di tengah-tengah kekeliruan itu, seorang lagi Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein menulis di Twitter, setuju dengan pandangan ahli Umna dan rakyat yang parti orang Melayu sejak sebelum Merdeka itu memerlukan kepimpinan baru.
“... Ianya harus dilakukan dengan tertibb supaya parti boleh dikembalikan dengan maruah dan prinsip yang dijunjung,” tulisnya.
Awal hari ini, Najib dan isteri Rosmah Mansor disekat oleh Imigresen daripada meninggalkan negara, bercuti di Indonesia untuk berehat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menulis di akaun Facebooknya, Najib berkata sepanjang percutian itu beliau akan membuat keputusan mengenai kedudukannya sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) selepas prestasi buruk dalam PRU14.
“Sebagai presiden Umno dan pengerusi BN, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan PRU14,” katanya, mengambil maklum pandangan pemimpin dan ahli parti mengenai kedudukannya.
Semalam, sekurang-kurangnya enam ketua pemuda Umno negeri dan dua exco sayap Pemuda Umno Malaysia, termasuk Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun mendesak Najib letak jawatan dan mahu Umno diterajui kepimpinan baru untuk memulihkan parti itu.
Pada PRU14 yang baru lalu, Umno hanya menang 54 kerusi Parlimen dan 129 kerusi negeri. Ini adalah prestasi terburuknya sejak mula hilang kepercayaan rakyat dalam pilihan raya umum 2008. – 12 Mei, 2018.
Komen