2 Adun Umno lompat, Pakatan jadi kerajaan Perak


The Malaysian Insight

PAKATAN Harapan (PH) berjaya meraih majoriti mudah 31 kerusi di Perak apabila dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno menyertai mereka, kata Ketua PH Negeri Ahmad Faizal Azumu.

“Kami sudah bertemu dengan Sultan dan memaklumkan yang kami berjaya mendapatkan majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri. Kami mempunyai sokongan dua Adun BN,” kata Faizal kepada pemberita selepas mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh, petang ini.

PH memenangi 29 kerusi di Perak, manakala Umno memenangi 27 kerusi dan PAS tiga kerusi negeri.

Bagaimanapun, Faizal enggan menamakan dua wakil rakyat itu.

Kedua-dua yang melompat parti itu menggagalkan rancangan PAS untuk menjadi “kingmaker” antara BN dan PH.

“Kita mempunyai 31 kerusi sekarang. Kami percaya jumlah itu akan meningkat pada hari ini,” katanya, memberi isyarat lebih ramai yang akan melompat daripada Umno.

Calon menteri besar juga turut dikemukakan kepada Majlis Presiden PH, katanya.

Apabila PH mengemukakan calon menteri besar kepada Sultan, terpulanglah kepada baginda memutuskan bila hendak menjemput PH bagi upacara angkat sumpah.

“Kami akan menunggu jemputan daripada istana,” kata Faizal.

Faizal, Ketua Amanah negeri Asmuni Awi dan Timbalan Ketua Nizar Jamaluddin dikhabarkan sebagai calon menteri besar.

PAS mahu membentuk kerajaan perpaduan tanpa pembangkang dengan BN dan PH.

Tiga Adun, termasuk Pesuruhjaya PAS Perak dan Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria, melawat istana pada waktu pagi, diikuti Ketua BN Negeri, Zambry Abd Kadir.

Tiada Adun (BN) lain yang dilihat mengiringi Zambry.

Selepas itu, Adun PH bertemu dengan Sultan pada tengah hari.

Kelihatan juga, kira-kira 50 penyokong PH berkumpul di jalan bertentangan dengan Istana Kinta. – 12 Mei, 2018.




 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen