Shafie angkat sumpah malam ini, kata timbalan pengerusi Warisan 


The Malaysian Insight

PENGERUSI Parti Warisan Sabah Shafie Apda akan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri hari ini, iaitu 48 jam selepas pesaingnya dari Barisan Nasional Musa Aman mengangkat sumpah.

Timbalan presidennya Darell Leiking mengesahkan upacara mengangkat sumpah akan diadakan di Istana Negeri pada jam 9 malam, dan menambah Musa sepatutnya sudah tahu beliau hilang sokongan majoriti ahli dewan undangan negeri.

Semalam, empat Adun Umno menyertai Warisan dan dua Adun menyatakan sokongan mereka kepada Warisan. Malam tadi, seorang lagi wakil dari Parti Bersatu Rakyat Sabah, turut menyokong Warisan.

Warisan kini mempunyai 36 kerusi majoriti, dan pesaingnya BN mempunyai 26 kerusi.

“Musa sekarang ini sepatutnya melakukan perkara yang lebih terhormat dan meletakkan jawatan sebagai ketua menteri sebaik sahaja tahu sekarang beliau tidak lagi memegang majoriti.

“Kita tidak mahu insiden 1985 berulang di mana terdapat dua ketua menteri yang akan dilantik.” kata Leiking ketika hendak meninggalkan kediaman Shafie di Taman Golfview di Kota Kinabalu hari ini.

Terdahulu, Musa berkata sudah ke Istana Negeri pada jam 10 pagi untuk membubarkan kabinet negerinya.

Musa yang juga pengerusi BN Sabah dijangka akan mengadakan sidang media hari ini. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen