Tiada pengecualian ketetapan baharu DLP, kata Fadhlina


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek semua sekolah mesti mematuhi peraturan baharu itu walaupun ia bertentangan dengan kehendak ibu bapa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2024.

SEMUA sekolah mesti mematuhi ketetapan baharu Program Dwi Bahasa (DLP) yang memerlukan sekurang-kurangnya satu kelas di mana Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Melayu, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana sekolah, dan semua sekolah mesti mematuhi peraturan baharu itu walaupun ia bertentangan dengan kehendak ibu bapa.

“Semua kita dah minta untuk kita pertegaskan kena pakai dan rujuk garis panduan dan tidak ada masalah.

“Setakat ini, sekolah yang ada dengan pelaksanaan garis panduan itu kita akan turun dan bantu sekolah tersebut untuk melaksanakan garis panduan,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today.

“Semua sekolah kerajaan perlu mematuhi garis panduan tersebut,” tambahnya.

Fadhlina merujuk kepada komen yang dibuat baru-baru ini oleh pendidik Noor Azimah Rahim bahawa sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah dikecualikan daripada peraturan baharu DLP.

Azimah juga berkata bahawa garis panduan baharu itu secara eksplisit mengecualikan Sarawak, membenarkan semua sekolah rendah menjalankan DLP sepenuhnya sejak 2020.

Pengecualian itu akan membolehkan sekolah-sekolah ini hanya menggunakan bahasa Inggeris untuk kelas Sains dan Matematik.

Baru-baru ini wakil sekolah vernakular Pulau Pinang menggesa Kementerian Pendidikan membatalkan arahan yang mewajibkan sekolah mempunyai sekurang-kurangnya satu kelas pengajaran Sains dan Matematik dalam BM.

Wakil 11 sekolah menengah kebangsaan dan Cina di Pulau Pinang berkata arahan itu tidak praktikal kerana tidak ada pelajar yang berminat untuk mengambil mata pelajaran ini dalam BM.

Surat bertarikh 15 April daripada Jabatan Pendidikan Pulau Pinang menyatakan sekolah DLP mesti mempunyai kelas bukan DLP jika mereka ingin menyertai program tersebut.

Pada Disember lalu, Fadhlina berkata murid di sekolah DLP tidak mempunyai penguasaan asas dalam BM. Beliau berkata sekolah yang menjalankan program DLP telah bersetuju untuk memenuhi semua kriteria termasuk penguasaan bahasa Melayu.

DLP telah diumumkan dalam Bajet 2016. Ia bertujuan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan kebolehpasaran pelajar. – 20 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen