Malaysia baharu bakal bawa perubahan 


The Malaysian Insight

RAKYAT Malaysia kini bangkit dengan kerajaan baharu pada Khamis dan dunia politik dan korporat Malaysia akan berdepan dengan pentadbiran yang sama sekali berbeza dengan sebelumnya.

Difahamkan bahawa perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Pakatan Harapan sedang mengkaji mengenai pelantikan peringkat tertinggi dan mengkaji semula operasi pelbagai agensi.

“Amalan lama perdana menteri menjadi pengerusi pelbagai agensi pelaburan kini disemak semula. Ia mungkin akan diberikan kepada rakyat Malaysia yang layak untuk mengelakkan penumpuan kuasa dalam eksekutif,” kata sumber kepada Malaysia Decides. 

“Dan mereka mencari ahli korporat yang mahu berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia, bukan Bumiputera sahaja,” tambahnya.

Difahamkan beberapa ahli korporat dalam syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dijangka akan ditukarkan sebaik sahaja Kabinet baharu terbentuk minggu depan.

Antaranya adalah ketua pegawai eksekutif dalam syarikat Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad, menurut satu lagi sumber. 

“Ia boleh dilakukan seawal Isnin,” tambah sumber itu. 

Beberapa penasihat termasuk yang berkhidmat dalam pentadbiran Dr Mahathir sebelum ini dikatakan akan disenarai pendek sebagai calon bagi disemak dan dipilih Kabinet minggu depan.

Kabinet dijangka akan membuat keputusan dan pengumuman hari ini. Walaupun perbincangan antara pemimpin Pakatan Harapan berhubung pelantikan menteri semalam, ianya jelas bahawa amalan lama diketepikan. 

Beberapa pemimpin baharu percaya bahawa kerajaan baharu ini tidak akan terikat antara kaum dan portfolio dalam Kabinet.

Sebagai contoh, menteri Melayu secara tradisinya memegang portfolio kewangan dan ahli politik Cina dilantik menteri kesihatan atau menteri pengangkutan.

Pemikiran kini adalah dalam Malaysia baharu, kerajaan tidak boleh terikat dengan cara lama dalam melakukan sesuatu perkara. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen