SAYAP Umno akan mengadakan sidang media hari ini bagi menjelaskan kekecohan dalam parti selepas beberapa ahli mendesak Presiden Najib Razak meletak jawatan selepas kekalahan memalukan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sidang media itu akan diterajui oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin juga dijadual hadir.
Ketiga-tiga pemimpin sayap Umno itu tidak hadir di majlis sambutan ulang tahun Umno ke-72 malam tadi.
Wujud juga cakap-cakap tentang munculnya pemberontakan dalam parti untuk mendesak Najib meletak jawatan selaku presiden dan bertanggungjawab atas kekalahan paling buruk dalam sejarah Umno.
Beberapa ketua pemuda Umno negeri seluruh negara sudah mengeluarkan kenyataan mendesak Najib meletak jawatan.
Timbalan Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan juga menggesa kepimpinan parti dirombak untuk kekal relevan.
“Kita perlu mulakan proses revolusi parti supaya Umno diterima kembali oleh rakyat,” katanya.
Tekanan juga dilihat semakin memuncak daripada parti komponen yang mahukan Najib meletak jawatan selaku pengerusi BN.
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Lian menulis menerusi akaun Twitternya: “Sekurang-kurangnya Najib Razak perlu letak jawatan selaku pengerusi Barisan Nasional. Kami perlukan permulaan yang segar dan awak masih menangguhkannya. Jangan heret kami ke bawah lagi!” – 12 Mei, 2018.
Komen