Zambry, Adun PAS menghadap Sultan Perak


The Malaysian Insight

KETUA Barisan Nasional Perak Zambry Abd Kadir dan tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PAS hadir di Istana Kinta, Ipoh untuk menghadap Sultan Perak pagi tadi.

Pesuruhjaya PAS Perak dan Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria adalah yang pertama sampai, diikuti oleh dua lagi Adun parti Islam itu pada jam 9.40 pagi.

Zambry tiba sejam kemudian pada jam 10.45 pagi dan meninggalkan istana pada 11.10 pagi.

Semua mereka tidak bercakap dengan media yang menunggu.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam meminta Zambry membawa 30 Adun negeri untuk menyokong hasratnya membentuk kerajaan negeri.

26 lagi adun Barisan Nasional tidak hadir.

Sultan Perak semalam mengatakan Pakatan Harapan diberikan keutamaan untuk membentuk kerajaan negeri kerana ia menang lebih banyak kerusi walaupun tidak mencecah 30 kerusi seperti mana yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

PH dijangka menghadap Sultan sekali lagi pada jam 2 petang ini.

PH menang 29 kerusi, BN (27) dan PAS hanya tiga kerusi di Perak.

Malam semalam, Razman memberitahu Malaysia Decides yang PAS menawarkan diri membentuk kerajaan perpaduan tanpa pembangkang dengan BN dan PH kerana jika tidak Perak akan menjadi “kerajaan yang rapuh”.

“Kami mahukan kerajaan yang stabil,” katanya menerusi panggilan telefon itu.

Razman berkata PAS akan tetap menyiasat dakwaan salah guna kuasa Zambry walaupun ia membentuk kerajaan perpaduan.

“Tak kisah siapa dia, kami akan siasat,” katanya.

PAS merampas dua daripada tiga kerusi di Perak dengan majoriti tipis daripada Umno.

Ia merampas Kubu Gajah dengan beza undi 180 dan Selama dengan 289 majoriti undi.

Razman mengekalkan kerusi Gunung Semanggol untuk PAS dengan majoriti undi 1,903 berbanding 1,405 diterimanya pada 2013. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen