Orang Sarawak bengang BN negeri mahu sertai Pakatan


The Malaysian Insight

PENDUDUK Sarawak menggunakan media sosial untuk meluahkan kemarahan mereka terhadap apa sahaja rancangan mana-mana wakil Barisan Nasional di negeri itu yang mahu menyertai Pakatan Harapan.

Wujud kecaman selepas laporan berita menyebut yang Gabenor Sarawak Taib Mahmud mengadakan pertemuan rahsia dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur, didakwa untuk berbincang pelan parti komponen BN dibawa masuk ke dalam PH.

Pengguna media sosial meluahkan pandangan mereka menerusi akaun Facebook wakil rakyat kawasan masing-masing, serta akaun kumpulan pendesak pemisah negeri dan ruangan komen portal berita dalam talian.

“Jangan terfikir untuk menerima rayuan mana-mana ahli perompak ini menyertai Pakatan. Biar mereka merayu, menangis air mata darah. Sebelum ini, mereka (BN Sarawak) tidak main-main, bukan main serang manifesto PH. Sekarang nak jilat ludah sendiri,” kata CaniceKievf Farrer.

“Mereka merancang bertahun lamanya untuk mencuri berbilion ringgit daripada rakyat Sarawak. Bentuk suruhanjaya untuk siasat korupsi. Tangkap mereka dan penuhkan penjara dengan orang yang didapati bersalah korup.”

Pearl Wang mengatakan orang Sarawak mengundi PH kerana menolak BN.

“Tun Mahathir dan PH berjanji kepada kami yang mereka mahu hapuskan kejahatan ini dan kami percaya kepadanya dan pasukannya. Jika PH terima mereka (BN) masuk, ia bermakna PH membenarkan korupsi, kronisme dan rompakan kekayaan negeri terus berlaku dan menyebabkan rakyat menderita. Ini adalah penghinaan kepada sistem pengundian. Kami yang sepatutnya menentukan masa depan kami dan bukannya ahli politik.”

BN Sarawak terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP yang secara kolektifnya menang 19 kerusi Parlimen pada PRU14.

Jika parti itu memutuskan untuk sertai BN, ia akan menyebabkan blok pembangkang tinggal hanya 60 kerusi di seluruh negara, dan PH akan meraih 141 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen