Kemerosotan Bahasa Inggeris di negara ini salah kerajaan, kata pendidik


Ravin Palanisamy

Kerajaan digesa menguatkuasakan Program DLP di semua sekolah bagi meningkatkan kualiti kemahiran Bahasa Inggeris. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2024.

KUMPULAN pendidik dan ibu bapa mengkritik kerajaan berikutan kemerosotan kemahiran Bahasa Inggeris di Malaysia.

Mereka berkata kerajaan perlu berhenti memberi alasan dan bertindak segera meningkatkan kecekapan guru Bahasa Inggeris tempatan.

Bekas guru, Geetha K berkata keadaan Bahasa Inggeris di Malaysia mulai merosot sekurang-kurangnya sejak dua geenrasi.

Katanya, sudah tiba masanya untuk menangani isu itu.

“Lepas satu kerajaan kepada kerajaan lain, menteri pendidikan saling bertukar, mereka membawa agenda yang salah.

“Ini membawa kepada keadaan kemahiran Bahasa Inggeris yang rendah, kemerosotan yang diabaikan walaupun berulang kali amaran dan syor diberikan oleh pihak berkepentingan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Rabu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau berbincang dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong berkenaan kemungkinan republik itu akan menghantar guru ke Malaysia.

“Kami ada berbincang mengenai kemungkinan Singapura menimbangkan permintaan saya agar menghantar guru bagi mengajar Bahasa Inggeris atau mata pelajaran lain ke beberapa kawasan di negara ini,” kata Anwar.

Geetha berkata masalahnya adalah komposisi fakulti pengajaran di sekolah kerajaan.

“Bandingkan guru sekarang dengan dua generasi lalu, perbezaannya besar.

“Tiada lagi jenis Mrs Raj, Mr Pereira, Mrs Chan dan Puan Maimunah yang dulunya berusaha memastikan kualiti tinggi pendidikan Bahasa Inggeris. Dengan hilangnya guru seperti ini, terhakis juga kualiti Bahasa Inggeris, sekali gus menjejaskan keseluruhan sistem pendidikan negara,” katanya.

Geetha berkata kalau Malaysia import guru dari Ivy League, Britain sekalipun, ia tidak akan dapat merawat keadaan sekarang.

“Akar masalah ini adalah pembuat dasar tidak ikhlas dan enggan mengakui kebenaran. Itu saja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page) Noor Azimah Abdul Rahim mengakui kekurangan guru tempata Bahasa Inggeris yang berkualiti menyumbang kepada masalah itu.

“Dengan adanya pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris sejak 2003, sepatutnya ada peningkatan dalam kualiti kemahiran Bahasa Inggeris,” katanya.

Oleh itu, bagi menambah baik keadaan itu, beliau menggesa kerajaan menguatkuasakan Program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan pada 2016, di semua sekolah.

“Idea di sebalik DLP adalah membuka kelas seumpama itu di setiap sekolah. Tetapi sejak itu hanya 10% sekolah rendah kebangsaan dan sekolah Tamil membuka sekurang-kurangnya 1 kelas DLP.

“Kementerian Pendidikan perlu melaksanakan tugas ini dan berhenti beri alasan. Menteri perlu tarik balik arahan kelas wajib bukan DLP di semua sekolah,” katanya.

Arahan baharu itu adalah sekolah yang mahu mewujudkan kelas DLP perlu ada sekurang-kurangnya satu kelas mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu (BM).

Ini menyebabkan ada sekolah tidak berpuas hati dengan arahan itu kerana mereka tiada pelajar yang mahu dua matapelajaran itu diajar dalam BM, menyebabkan pelaksanaan DLP di sekolah terjejas.

“Kenapa Sarawak dan 11 sekolah elit terkecuali daripada kelas bukan DLP wajib?

“Tarik segera arahan itu sebelum lebih ramai ibu bapa buat bantahan di kementerian,” katanya. – 14 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen