Pemuda Bersatu dakwa beg tangan bernilai lebih RM10 juta dipindahkan Rosmah


The Malaysian Insight

BEG tangan bernilai sekurang-kurangnya RM10 juta dipindahkan oleh Rosmah Mansor, kata ahli exco Pemuda Bersatu yang membuat laporan polis berkaitan perkara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, ahli exco tersebut menyertakan sekali laporan polis mendakwa isteri bekas perdana menteri itu memindahkan 50 beg jenama Birkin yang setiap satunya mencecah nilai RM200,000 ke kondominium di Kuala Lumpur.

“Kami ada menerima maklumat dan rakaman video menunjukkan bahawa lebih kurang 50 buah tas tangan jenama ‘Birkin’ sedang dipindahkan daripada sebuah van milik Jabatan Perdana Menteri ke beberapa buah unit kondominium di Pavillion Residence KL. Setiap satu tas tangan tersebut dianggarkan bernilai RM200,000 ke atas.

“Setiap kotak tas tangan tertera label nama si pemberi kpd penerima (hadiah pemberian). Dipercayai penerima adalah isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Rosmah Mansor,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Exco Pemuda Bersatu Ben Ali dan Azizi Sulaiman serta Bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali.

Mereka menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu kerana Najib kini dikaitkan dengan salah guna dana negara.

Mereka juga meminta siasatan dilakukan ke atas penggunaan sebuah van mempunyai logo Jabatan Perdana Menteri kerana sekiranya ia benar, ia merupakan satu kesalahan salah guna kuasa.

“Selain daripada tas tangan yg mencurigakan, van yg membawa tas tangan tersebut tertera Jabatan Perdana Menteri dan Jata Negara Malaysia. Jika benar van itu milik JPM, maka ini adalah salah guna kuasa, di mana Rosmah Mansor menggunakan aset milik kerajaan tanpa kebenaran dan utk kegunaan peribadi.

“Kami selaku Exco Pemuda PPBM (Bersatu) Nasional ingin menggesa serbuan dilakukan ke unit kondominium di Pavilion Resident tersebut,” kata mereka lagi. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen