3 Adun Umno Johor sertai Bersatu


The Malaysian Insight

TIGA wakil rakyat Umno di Johor hari ini menyertai Bersatu selepas Barisan Nasional (BN) tewas di negeri itu kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sedili, Rasman Ithnain, Adun Johor Lama Rosleli Jahari, dan Adun Endau Alawiyah Talib berkata keputusan itu diambil demi kepentingan rakyat dan perpaduan Melayu.

“Kami buat ini tujuan untuk perpaduan Melayu dan rakyat. Sebab itu selepas ini nanti kami akan mohon untuk masuk Bersatu.

“Apa yang penting untuk rakyat. Kami kena membela dan membantu rakyat. Kami sentiasa membantu rakyat.

“Apa saya boleh buat dengan rakyat. Bagaimana nak bantu rakyat sekarang, pengundi akan faham,” kata Rasman dalam sidang medianya di Johor Baru hari ini.

Katanya, dengan situasi BN adalah pembangkang di Johor mereka tidak akan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pengundi sokong kami kerana mahukan perkhidmatan kami, bila waktu sekarang kami nak melangsungkan kehendak rakyat bagaimana kami nak buat kerja,” katanya.

Turut bersama mereka menyertai Bersatu adalah kira-kira 40 ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kota Tinggi.

Dengan penyertaan tiga adun ini Dun Johor menyaksikan kerajaan PH negeri mempunyai mempunyai bilangan 39 kerusi berbanding BN 16 kerusi dan PAS 1 kerusi. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen