Paling banyak jawatan utama, Amanah mungkin parti paling gembira


The Malaysian Insight

AMANAH kini menjadi parti yang paling gembira selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun baru beberapa tahun dibentuk.

Parti itu difahamkan mendapat jawatan dalam menteri kabinet, satu menteri besar dan satu ketua menteri.

Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari sudah dilantik sebagai ketua menteri manakala seorang pemimpin Amanah dijangka mengangkat sumpah sebagai menteri besar hari ini atau esok.

“Kami jangka pemimpin Amanah akan dilantik sebagai MB hari ini atau esok. Jika ini berlaku, Amanah mungkin parti yang paling gembira selepas PRU14 ini,” kata satu sumber Amanah.

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pagi ini dijangka akan memutuskan jawatan 10 menteri kabinet Malaysia selepas perdana menteri dan timbalannya selesai dilantik.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dijangka menjadi salah seorang dari 10 menteri kabinet pertama itu.

Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad sudahpun mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri manakala Dr Wan Azizah Ismail bakal dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Hari ini, Majlis Presiden PH akan bermesyuarat bagi memutuskan nama 10 pemimpin yang akan dilantik sebagai menteri kabinet.

Satu sidang media telah dipanggil jam 12 tengahari ini bagi mengumumkan pemilihan 10 menteri kabinet itu.

Di Perak, PH dijangka membentuk kerajaan apabila Adun Tualang Sekah dari BN, Norlee Radzi menyertai PH menjadikan gabungan parti itu mempunyai 30 Adun berbanding BN 26 dan PAS 3.

Amanah menang enam kerusi DUN di Perak manakala Bersatu (1), PKR (4) dan DAP (18). Di Johor pula, Amanah mendapat 9 kerusi, Bersatu (8), PKR (5) manakala DAP (13). – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen