Orang ramai halang kenderaan di luar lapangan terbang


The Malaysian Insight

KIRA-kira 50 orang cuba menghalang sebuah kenderaan jenis MPV daripada memasuki Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah kerana dipercayai membawa bekas perdana menteri Najib Razak.

Sekumpulan pemerhati, yang menyertai kumpulan petugas media di perkarangan pagar yang membawa kepada landasan dan hangar, kemudian bertindak mengepung kenderaan terbabit yang tiba sekitar jam 9.30 pagi.

Mereka menjerit “Buka! Buka!” pada kenderaan itu, dan meminta penumpangnya menurunkan tingkap yang bercermin gelap bagi melihat siapa di dalamnya.

Pemandu kenderaan terbabit kemudiannya mengundurkan kenderaan daripada pagar dengan perlahan selepas anggota polis campur tangan dan menghalang orang ramai mendekati kenderaan itu.

Beberapa minit kemudian, tingkap penumpang kenderaan itu diturunkan dan lelaki dalam kenderaan itu adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim. Beliau mempertahankan kerusi Arau pada Pilihan Raya Umum ke 14.

Orang ramai kemudiannya membenarkan kenderaan itu lau selepas menyedari Najib tiada di dalam.

Berita Najib dan isterinya Rosmah Mansor akan berlepas ke Jakarta dengan pesawat peribadi pada jam 10 pagi ini tular di media sosial sejak malam tadi.

Pasukan Gempur Ringan polis turut ditempatkan ke lapangan terang berkenaan bagi mengawal keadaan. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen