Shafie perlu bentang undi tak percaya kepada Musa di Dewan, kata peguam


The Malaysian Insight

YANG di-Pertua Sabah mempunyai kuasa untuk melantik ketua menteri tetapi tiada kuasa untuk menyingkirnya, lapor akhbar Daily Express hari ini ketika ketegangan semakin memuncak di negeri itu tentang persoalan sama ada Presiden Warisan, Shafie Apdal boleh mengangkat sumpah menjadi ketua menteri.

Akhbar itu menembual seorang pegawai kanan, S. Vanugopal berkata langkah menyingkirkan Ketua Menteri Musa Aman hanya boleh dilakukan menerusi undi tidak percaya Dewan Undangan Negeri.

Musa mengangkat sumpah malam Khamis lalu dan mengumumkan kabinet negeri keesokan harinya.

Vanugopal mengatakan Perkara 6 (3) Perlembagaan Negeri dengan jelas menyatakan yang Yang di-Pertua Negeri boleh melantk ketua menteri daripada ahli Dewan Undangan Negeri yang dalam pertimbangannya mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja pelantikan itu dijalankan, Yang di-Pertua Negeri tidak mempunyai kuasa menyingkirkan ketua menteri,” katanya menambah aspek pelantikan dan penyingkiran itu telah digazetkan dengan jelas.

Vanugopal menambah yang terpulang kepada Yang di-Pertua Negeri untuk memberikan keizinan menghadap kepada Shafie bagi mendengar dakwaannya yang beliau mempunyai majoriti.

 “(Kemudian) dia boleh memberitahu ketua menteri semasa untuk meletakkan jawatannya menurut peraturan, untuk pelantikan seterusnya dibuat.”

Malam tadi, ahli Parlimen Pensiangan dan Adun Sook daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), salah satu parti komponen BN, menyatakan sokongan kepada Warisan seterusnya memberikan Shafie 36 kerusi DUN dan menyebabkan BN kini hanya tinggal 24.

Shafie dan ahli Dewan Undangan Negeri dilaporkan sedang menunggu keizinan menghadap diberikan Yang di-Pertua Negeri.

“Orang seterusnya yang merasakan dia mempunyai sokongan majoriti boleh mengemukakan usul tidak percaya terhadap ketua menteri di Dewan. Ketua menteri wajib meletak jawatan selepas dia kalah usul tidak percaya dalam badan perundangan (DUN).

“Jika seseorang, dalam kes ini, Shafie, mendakwa mempunyai sokongan majoriti, dia perlu sabar menunggu sehingga Dewan bersidang untuk membuat tuntutan.

“Sebaik sahaja ketua menteri disingkirkan, orang yang menuntut jawatan itu boleh mengemukakan tuntutannya kepada Yang di-Pertua Negeri supaya dia dilantik menjadi ketua menteri,” jelas Vanugopal.

Bagi penduduk Sabah, situasi semasa mengingatkan mereka kepada Pilihan Raya Negeri 1985 apabila pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu, Joseph Pairin Kitingan menjadi ketua menteri walaupun Presiden United Sabah National Organisation (Usno) Tun Mustapha Datu Harun mengangkat sumpah terlebih dahulu.

Parti Mustapha hanya menang 16 kerusi negeri berbanding 25 dimenangi PBS, tetapi Mustapha bergegas ke istana negeri untuk mengangkat sumpah pada jam 2 pagi.

Susulan kejadian itu, Perlembagaan Negeri dipinda memerlukan seseorang yang mendakwa mempunyai majoriti sokongan ahli Dewan Undangan Negeri juga perlulah pemimpin parti politik dengan kerusi terbanyak dalam Dewan. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen