DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan kompleks sukan di Jalan Tun Sambanthan akan dibuka kepada orang ramai tahun depan.
Siap tahun ini, DBKL berkata kompleks sukan itu dijangka beoperasi bermula Januari 2025.
“Ini selepas tamat tempoh liabiliti kecacatan, bagi memastikan kompleks sukan itu dalam keadaan yang baik untuk kegunaan orang ramai,” kata DBKL dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.
Kemudahan di kompleks sukan itu termasuk padang bola, gelanggang futsal dan dua gelanggang bola keranjang.
DBKL berkata Jabatan Kebudayaan, Keseniaan, Pelancongan dan Sukan akan menguruskan kompleks sukan itu.
Bagaimanapun, DBKL tidak menjawab berkenaan masalah yang menyebabkan kelewatan pembukaan kompleks sukan itu.
DBKL juga tidak menjawab ketika ditanya berkenaan kemungkinan bayaran dikenakan untuk penggunaan kemudahan di situ, dan sama ada penduduk dari Brickfields akan dibenarkan menggunakan kemudahan secara percuma.
Terdahulu, penduduk Brickfields bercakap kepada The Malaysian Insight menggesa DBKL memberi penjelasan kenapa kompleks sukan itu masih belum dibuka, di mana ia ditutup pada 2017 untuk pembangunan semula.
Pengerusi Rukun Tetangga Brickfields SKK Naidu menggesa DBKL menjelaskan apa yang berlaku terhadap kemudahan itu dan mengapa lewat dibuka walaupun sudah siap.
“Selepas ia siap kami terkejut projek itu hanya mempunyai padang, gelanggang futsal dan gelanggang bola keranjang tetapi tiada infrastruktur asas seperti tandas atau bilik persalinan,” katanya.
Pada 2020, ketika kemuncak pandemik Covid-19 Datuk Bandar Kuala Lumpur pada masa itu Mahadi Che Ngah menerima permintaan untuk lebih banyak padang permainan diwujudkan.
Bagi memenuhi permintaan itu, Mahadi berjanji untuk menggantikan padang yang ditutup pada 2017 dan pengumuman mengenai pembangunan semula padang di Brickfields dibuat pada 2021. – 11 Jun, 2024.
Komen