Media berkumpul tunggu Najib, Rosmah di Subang


The Malaysian Insight

KETIKA media sosial kecoh dengan khabar angin yang Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor akan meninggalkan Malaysia, media mula berhimpun di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah sejak jam 5 pagi.

Media termasuk agensi berita antarabangsa mula berkumpul menanti bekas perdana menteri itu di Skypark.

Walaupun di media sosial kecoh mengatakan ratusan orang menunggu untuk menghalang Najib dan isteri keluar negara, hanya terdapat kumpulan kecil orang awam di sini.

Dilaporkan yang Najib dan Rosmah akan menaiki penerbangan peribadi untuk percutian dua hari ke Jakarta pada jam 10 pagi ini.

Ratusan pengguna media sosial semalam mengatakan Najib tidak wajar dibenarkan keluar negara.

Pagi ini dilaporkan Najib dihalang meninggalkan negara menerusi pemeriksaan di laman sesawang imigresen. Bagaimanapun, perkara ini dinafikan oleh ketua pengarah imigresen.

Pada 9 Mei lalu, BN dikalahkan Pakatan Harapan apabila hanya menang 79 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam kempen pilihan raya berikrar akan mengheret Najib dan mereka yang terlibat dalam skandal kewangan rentas negara, 1MDB ke muka pengadilan. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen