PARTI Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang menang di kerusi Parlimen Pensiangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, mula mendekatkan diri dengan Warisan.
Presiden Joseph Kurup berkata keputusan untuk meningggalkan Barisan Nasional (BN) dibuat susulan pengumuman rasmi parti itu semalam.
“(Kami) berpandangan yang kerajaan BN sudah jatuh, pemimpin PBRS merasakan kami tidak akan mampu berkhidmat kepada masyarakat, jika kami terus berada (dalam BN).
“Kerana itu, PBRS memutuskan untuk menilai kembali kedudukan kami dalam gabungan BN, dan memohon untuk menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan. Hanya dengan menyertai PH, kami boleh melunaskan janji kepada rakyat.
“Kami meninggalkan BN kerana jika kami kekal, kami tidak akan mampu berkhidmat kepada rakyat dengan cara terbaik,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Dengan tindakan itu, Warisan kini mempunyai sokongan 36 ahli Dewan Undangan Negeri berbanding 24 dipegang BN.
Ketua BN Sabah Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri dua malam lepas. Ini tidak diiktiraf oleh Warisan dan Presidennya Shafie Apdal yang mengatakan beliau mempunyai jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri. – 12 Mei, 2018.
Komen