Hanya mahu bercuti, kata Najib


The Malaysian Insight

BEKAS Perdana Menteri Najib Razak mengatakan yang beliau akan bercuti ketika berita yang beliau dan isteri Rosmah Mansor sudah dihalang daripada meninggalkan negara oleh Jabatan Imigresen tular.

“Selepas lebih empat dekad dalam politik dan kempen pilihan raya terbaru, yang secara peribadinya sangat disesalkan dan mungkin yang paling getir dalam sejarah Malaysia, saya akan bercuti seketika untuk menghabiskan masa dengan keluarga yang jarang saya temui beberapa tahun ini,” katanya menerusi akaun Twitter dan Facebooknya sekitar jam 8 pagi tadi.

Media kini sedang berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang menunggu sama ada Najib dan Rosmah akan menaiki pesawat peribadi yang dijadualkan bertolak pada jam 10 pagi membawa mereka ke Jakarta.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan butiran penumpang dan anak kapal untuk pesawat peribadi itu yang dipercayai milik taikun Indonesia dan rakan rapat Najib, Peter Sondakh bocor malam tadi.

Bagaimanapun, Malaysiakini sebelum ini melaporkan pemeriksaan ke atas rekod Imigresen menggunakan kad pengenalan Najib dan Rosmah menunjukkan yang mereka perlu merujuk kepada jabatan itu terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar negara.

Dalam catatan media sosial itu, Najib juga mengatakan beliau dan BN “komited untuk menghormati hasrta rakyat dan menyelia pemindahan kuasa berjalan lancar”.

“Saya berdoa selepas tempoh mencabar ini, negara akan terus bersatu. Saya memohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan, dan saya berterima kasih kepada rakyat kerana memberi peluang mentadbir negara kita yang hebat ini. Ia satu peluang terhormat dalam kehidupan saya berkhidmat untuk anda dan Malaysia.” – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen