KABINET persekutuan Pakatan Harapan akan mempunyai penasihat kewangan yang bertanggungjawab ke atas usaha untuk mendapatkan kembali dana yang disalurkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Reuters.
Ini bermakna ia akan “memulakan kembali siasatan 1MDB” untuk mendapatkan kembali wang itu, menurut laporan berkenaan yang memetik sumber pasukan kempen perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sumber kedua turut memberitahu Reuters pengumuman ini dijangka akan dibuat hari ini apabila Dr Mahathir menamakan barisan kabinet baharunya, yang akan bermula dengan 10 kementerian penting.
Dr Mahathir sebelum ini berkata, Najib akan menerima akibat sekiranya didapati terbabit dengan sebarang salah laku. Bekas perdana menteri itu juga merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Siasatan terdahulu ke atas 1MDB di Malaysia ditamatkan dengan Peguam Negara mengisytiharkan Najib bebas daripada sebarang salah laku walaupun wag daripada 1MDB disalurkan menerusi pelbagai entiti ke akaun bank peribadinya. Najib bagaimanapun mendakwa wang berkenaan adalah sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.
Namun 1MDB disiasat di sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat, berhubung dakwaan penyelewengan lebih $4.5 bilion daripada syarikat pelaburan berkenaan. – 12 Mei, 2018.
Komen