Dr Mahathir dan suatu hari pada Mei 2018


The Malaysian Insight

BERTAHUN-tahun dari sekarang apabila mengenang semula suatu hari pada Mei 2018 ketika rakyat Malaysia bersatu dan menyelamatkan negara, ada sebuah nama yang akan disebut-sebut: Dr Mahathir Mohamad.

Agak sulit untuk membayangkan bagaimana seorang yang berumur 93 tahun menyatukan pemimpin pembangkang dalam masa tidak sampai setahun, kemudian meyakinkan rakyat Malaysia berbilang kaum bahawa berbaloi untuk mendukungnya dan menjadikan Najib Razak bahan momokan.

Penganalisis berbagi pendapat bila sebenarnya Dr Mahathir mula merancang kempen untuk menjatuhkan Najib.

Ada yang mengatakan ia bermula pada akhir 2014 ketika salah laku 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mula terbongkar.

Ada yang mengatakan titik mula kejatuhan Najib ialah apabila beliau memecat timbalannya, Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir kerana mempersoalkan peranannya dalam skandal 1MDB.

Tindakan Najib itu membuka jalan kepada tertubuhnya Bersatu.

Pada Mac 2017, Bersatu menyertai Pakatan Harapan.

Dr Mahathir kemudian dilantik pengerusi PH pada Julai 2017.

“Ia sebuah pakatan dengan asas yang berbeza dan beliau mengaturnya dan menunjukkan satu matlamat: singkirkan perdana menteri Najib Razak,” kata penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi.

Untuk meyakinkan rakan-rakan seperjuangannya yang baru dan rakyat Malaysia, Awang Azman berkata Dr Mahathir “menggunakan rekod kepimpinannya selama 22 tahun yang sudah dirakamkan dalam sejarah.”

“Itu caranya untuk memberitahu pengundi muda bahawa negara ini akan selamat.

“Mereka yang tua mengingati Wawasan 2020, pembinaan Menara berkembar Petronas dan pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun-tahun beliau jadi perdana menteri.”

Awang Azman juga menggambarkan Dr Mahathir sebagai ahli strategi yang pintar.

“Beliau tegas dengan keputusan mengetepikan PAS. Beliau tidak teragak-agak menggunakan logo PKR (untuk pilihan raya), sedar bahawa ia bukan saja sudah dikenali tetapi simbol kesatuan dengan Anwar Ibrahim, terutamanya untuk penyokong PKR,” katanya.

Beliau juga menyebut surat terbuka kepada pasukan keselamatan serta melibatkan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin sebagai langkah bijak yang hanya mampu digerakkan oleh ahli politik berpengalaman.

Dr Mahathir, perdana menteri antara 1981 hingga 2003, juga mempunyai reputasi baik dalam kalangan pengundi Melayu di luar bandar dan turun sendiri ke kawasan Felda yang sebelum ini menolak parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

“Orang Melayu sedia memilih Dr Mahathir kerana mereka tahu beliau tidak akan membenarkan hak istimewa Melayu diketepikan oleh DAP atau parti-parti lain dalam gabungan itu,” kata James Chin, pengarah Asia Institute di University of Tasmania.

“Satu lagi faktor besar ialah Najib Razak dan jenama Umno yang sudah rosak, kesan kempen Pakatan sejak lima tahun lalu,” tambah beliau.

Bridget Welsh, penyelidik Asia Tenggara di John Cabot University, percaya ada pengaruh politik yang lebih besar berbanding semasa 22 tahun jadi perdana menteri.

“Mandatnya sungguh besar. Kita bercakap tentang 20 hingga 25 peratus pengundi yang beralih menyokongnya di seluruh kawasan,” katanya dalam satu temubual dengan Al-Jazeera.

Welsh bagaimanapun menjangkakan Dr Mahathir hanya akan jadi perdana menteri sekejap saja.

“Beliau tidak mahu lama-lama. Ini akan mewujudkan dinamisme dalam pentadbiran yang akan jadi lebih mustahak selepas ini,” katanya.

Dr Mahathir mungkin tidak lama memimpin tetapi bertahun-tahun dari sekarang orang akan bercakap tentang suatu hari pada Mei 2018 apabila beliau mengetuai gerakan menyelamatkan Malaysia. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen