BN Perlis runding bentuk kerajaan dengan Pakatan


The Malaysian Insight

BARISAN Nasional Perlis cuba berunding dengan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan campuran di negeri itu, biarpun ia mempunyai jumlah kerusi yang cukup di dewan undangan negeri, kerana khuatir tidak mampu dari segi ekonomi untuk berdiri sendiri sebagai negeri pembangkang, kata sumber.

Sumber memberitahu Malaysia Decides, PKR bagaimanapun meletakkan syarat jawatan menteri besar hendaklah dipegang oleh wakil rakyat daripada PKR. Syarat itu bagaimana katanya tidak dipersetujui oleh Umno.

Pada PRU14 yang baru lalu, BN menang 10 daripada 15 kerusi negeri di Perlis sementara PKR 3 dan PAS 2.

Seorang lagi sumber mendedahkan ada dua kumpulan dari Umno yang berunding dengan PH, masing-masing diketuai oleh Azlan Man dan Shahidan Kassim.

Shahidan merupakan menteri besar Perlis antara 1995 hingga 2008. Beliau tidak diperkenankan oleh Raja Perlis untuk dilantik semula ke jawatan itu selepas pilihan raya umum 2008 dan tempatnya digantikan oleh Md Isa Sabu yang jadi menteri besar sepenggal.

Azlan Man pula merupakan menteri besar Perlis pada penggal yang lepas.

Shahidan yang ditemui malam tadi sementara itu menegaskan BN akan membentuk kerajaan negeri Perlis petang ini.

“Tunggu esok (Sabtu), kita akan umum pukul 4 petang,” katanya kepada wartawan, ketika ditemui selepas majlis sambutan ulang tahun Umno ke-72 di Kuala Lumpur.

Beliau bagaimana menafikan ada rundingan antara BN negeri dengan PH untuk membentuk kerajaan campuran.

“Saya tak tahu. Tak ada siapa pun beritahu saya,” katanya.

Ditanya sekali lagi apakah ada rundingan berkenaan, Shahidan ketawa kecil dan berkata: “Tunggu esok, tunggu esok. Esok selesai.” 

Selepas PRU14, BN hanya menguasai tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Sarawak. Pengerusi BN Pahang, Adnan Yaakob akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang untuk penggal kelima sejak 1999.

Kedudukan Sarawak sebagai negeri BN bagaimanapun kini tidak jelas susulan ada gerakan untuk membawa PBB keluar dari BN dan menyertai PH, yang dijangka akan diputuskan minggu depan. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen