Cita-cita anak jadi pegawai polis hancur, ibu bapa dalam kesusahan


Ravin Palanisamy

Mogana Selvi dan suaminya, Suresh Balakrishna meluahkan rasa sedih dengan apa yang menimpa anak kedua mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Jun, 2024.

MOGANA Selvi dan suaminya, Suresh Balakrishna menaruh harapan yang tinggi untuk anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun memiliki masa depan yang cerah, dan membawa keluarga mereka keluar daripada kemiskinan.

Bagaimanapun impian mereka dan anak lelaki mereka itu musnah.

Mogana mendakwa anaknya kini dianggap sebagai orang kelainan upaya (OKU) oleh doktor, sekaligus mematahkan cita-cita kanak-kanak itu untuk menjadi pegawai polis.

Pada 30 April lalu, murid Tahun 5 dari sebuah sekolah di Ampang itu didakwa dihukum oleh gurunya bersama tiga pelajar lain berdiri di bawah terik matahari, satu hukuman yang antara lain dilarang Kementerian Pendidikan.

Tiga budak lelaki lain didakwa telah dilepaskan hukuman mereka lebih awal kecuali anak lelaki Mogana.

Menurut laporan polis yang dibuat mengenai kes ini, dia mendakwa anaknya telah dipaksa berdiri di tengah panas dari jam 10 pagi hingga 12.50 tengah hari, kira-kira tiga jam.

Kanak-kanak itu kemudiannya dikejarkan ke hospital kerana mengalami strok haba.

Doktor di Hospital Ampang, yang merawatnya mendedahkan kanak-kanak itu mengalami kerosakan berkaitan saraf dan diisytiharkan sebagai OKU.

Mogana yang hamil tiga bulan, kecewa, terpaksa melihat anaknya dalam keadaan yang tidak pernah dibayangkannya.

Mendiami sebuah pangsapuri kos rendah, Mogana berkata anak lelaki yang trauma itu bangun pada waktu malam dan melakukan perkara pelik.

Dia berkata dia akan duduk di sebelah bilik air, membasahkan kepalanya dengan air.

Malah katanya, anak keduanya itu juga akan merenung melalui tingkap, mendakwa guru yang menghukumnya akan datang untuk mendapatkannya.

Menurut ibunya, dia perlu menenangkannya sebelum dia tidur semula.

“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah saya harapkan,” kata ibu berusia 35 tahun itu kepada The Malaysian Insight.

Mogana, seorang suri rumah, berkata seluruh keluarga berasa sedih dengan apa yang berlaku, sambil menambah bahawa kejadian itu juga akan memberi kesan kepada mereka dari segi kewangan.

Ibu kepada lima anak itu, kata suaminya Suresh, hanyalah seorang pengumpul barang-barang lusuh dan menjana pendapatan tidak seberapa sekadar untuk menyara keluarga.

Berubah jadi pendiam

Mogana berkata anak lelakinya bercita-cita untuk menjadi pegawai polis, sambil menambah dia menyertai kadet polis sekolah untuk mengejar cita-citanya itu.

“Dia mendapat inspirasi daripada peranan polis dalam kehidupan sebenar dan juga dalam televisyen.

“Tetapi sekarang itu nampaknya ia tidak mungkin tercapai kerana doktor memberitahu anak saya mempunyai kecacatan. Semua harapan kami musnah,” katanya.

“Dia tidak lagi ceria, tidak suka bermain dan tidak gembira.

“Adik-beradiknya merindui dirinya yang asal, dan anak sulung saya selalu bertanya apa yang telah berlaku kepada adiknya dan mengapa dia sangat pendiam hari ini,” kata Mogana.

Anak lelaki sulungnya berusia 13 tahun manakala tiga tiga lagi anaknya yang merupakan adik kepada mangsa masing-masing berumur 10, lapan dan enam tahun.

Mogana berkata, anaknya kini perlukan bantuan dalam melakukan kerja harian, termasuk mandi dan makan.

Dia juga berkata dia takut menghantar anak-anaknya yang lain ke sekolah selepas kejadian yang menimpa anak keduanya itu.

Pada Rabu, keluarga itu mendakwa pihak berkuasa cuba menyimpang daripada isu utama iaitu hukuman yang dijatuhkan oleh guru yang meninggalkan anak mereka dalam keadaan sekarang.

Daripada menumpukan perhatian kepada bagaimana budak itu dihukum dan mengambil tindakan terhadap pelakunya, mereka berkata polis cuba untuk menentukan sama ada budak itu cacat sebelum kejadian.

Jurucakap keluarga itu Dayalan Sreebalan mendakwa pihak berkuasa kini lebih tertumpu kepada kecacatan murid berkenaan berbanding kesalahan yang dilakukan guru berkenaan 

“Laporan awal polis yang dibuat oleh ibu adalah mengenai hukuman yang dikenakan oleh guru ke atas pelajar itu dan bukan mengenai status OKU kanak-kanak itu,” katanya. 

Pada 25 Mei, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata siasatan mendapati suspek, seorang guru lelaki berusia 37 tahun, telah menghukum budak lelaki itu dan tiga yang lain selama “10 minit”.

Beliau berkata polis telah menyelesaikan siasatan terhadap dakwaan ibu itu dan kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Pegawai khas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Thiyagaraj Sankaranarayanan dalam catatan Facebooknya berkata guru itu telah melanggar ‘Pekeliling Ikhtisas Bil.7/1995 Kementerian Mengenai Hukuman dan Tindakan Tatatertib terhadap Pelajar.

Pekeliling itu mengingatkan sekolah supaya tidak marah dan membuat kesimpulan terburu-buru tanpa siasatan yang sewajarnya, juga mengatakan bahawa penyeksaan dan penghinaan awam harus dielakkan.

Mahukan keadilan

Sementara itu Dayalan berkata Hospital Ampang memberi keluarga surat rujukan untuk anak mereka selepas dia dinilai sebagai OKU oleh doktor. Ibu bapa sedang dalam proses mendapatkan kad OKU untuknya.

Dinesh Muthal, peguam yang mewakili keluarga itu berkata, pegawai penyiasat (IO) tidak mengendalikan kes dengan baik dan mendakwa rakan sekelas mangsa, saksi dalam kes ini, telah didedahkan kepada guru oleh IO, yang membawa kepada pelajar diancam.

Beliau berkata ini berlaku dalam pertemuan tertutup antara pihak pentadbiran sekolah dan ibu bapa mangsa.

Dinesh mendakwa bahawa ini adalah unsur gangguan saksi.

Ketika ditanya, Mogana berkata dia mahukan keadilan untuk anaknya dan dia tidak akan memaafkan guru itu atas perbuatannya.

“Anak saya berada dalam keadaan ini kerana cikgu.

“Saya tidak akan dapat memaafkan guru kerana itu,” katanya. – 7 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen