UMNO perlu mengadakan perhimpunan agungnya secepat mungkin, kata bekas ketua menteri Melaka Ali Rustam.
“Kepimpinan Umno perlu melakukan ini dengan segera,” katanya yang pernah menjadi naib presiden parti dari 2004-2009.
Ahli politik veteran itu yang tewas di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya kepada Shamsul Iskandar daripada PKR pada PRU14, berkata demikian ketika ditanya tentang desakan beberapa Pemuda Umno yang meminta presiden Najib Razak meletak jawatan.
Beliau ditemui ketika majlis sambutan ulang tahun ke-72 Umno di PWTC malam ini.
Bagaimanapun, Ali enggan menambah desakan supaya Najib letak jawatan dan berkata “semua suara perlu didengar pada perhimpunan agung”.
Umno sudah terlalu lama tidak mengadakan pemilihan parti selepas menangguhkannya sebanyak dua kali. Kali terakhir pemilihan diadakan ialah 2013.
Ali berkata untuk menghidupkan semula Umno, parti perlu membawa lebih ramai profesional muda.
Veteran berusia 69 tahun itu berkata Barisan Nasional memandang rendah impak GST terhadap parti itu.
“Selain Singapura, kerajaan lain yang memperkenalkan GST juga turut jatuh.
“Tetapi kami betul-betul percaya ia sistem cukai yang lebih adil berbanding cukai sebelum ini,” katanya. – 11 Mei, 2018.
Komen