MEDIA sosial kecoh apabila bekas perdana menteri Najib Razak dikatakan akan meninggalkan negara ini bersama isterinya ke Jakarta, Indonesia esok.
Sekeping gambar senarai penumpang menunjukkan nama pasangan itu akan berlepas menaiki pesawat pada esok, mula tular di media sosial.
Menurut sumber, sebuah pesawat peribadi akan terbang dari Indonesia untuk menjemput pasangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang pagi nanti.
Kebanyakan pengguna media sosial mendesak supaya Najib dihalang dan dipenjarakan untuk siasatan lanjut berhubung kes rasuah.
“Ambil pasport dia, letak dia dalam lokap siasatan rasuah, reman 100 hari. Bilik Anwar kosong sekarang,” kata pengguna Facebook, Muhd Ismaidi Abd Hamid.
“Halang mereka dari keluar negara,” kata Eugene Ter.
“Jadi kena tahan mereka dulu sebelum dia lari,” kata Kapitan Khairul.
Malaysiakini memetik sumber sebagai berkata Najib dan isterinya hanya berehat dua hari, dan menolak spekulasi bahawa mereka akan melarikan diri.
“Semua orang (yang ingin menaiki kapal terbang) ada jadual penerbangan. Jadi mereka (yang membuat spekulasi) boleh pergi (ke lapangan terbang) untuk melihat sama ada beliau melarikan diri bersama beg berisi wang dan lain-lain,” kata sumber itu.
Buat pertama kalinya dalam sejarah negara, Barisan Nasional di bawah kepimpinan Najib tewas di tangan pembangkang selepas 60 tahun memerintah. – 11 Mei, 2018.
Komen