Polis kunci pejabat peguam negara


The Malaysian Insight

POLIS mengunci pejabat Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, sehari selepas perdana menteri baharu memberi amaran bahawa mereka yang berpakat dengan pentadbiran sebelum ini dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), akan menerima akibatnya.

Apandi memberitahu theSun, polis menyekat laluan menuju ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya.

Beliau mengesahkan tentang gambar kawat berduri dipasang di depan bangunan pejabat itu yang menjadi tular.

“Nampaknya begitulah,” katanya ketika dihubungi oleh theSun.

Pada sidang akhbarnya yang pertama sebagai perdana menteri malam tadi, Dr Mahathir Mohamad berjanji “ketua akan jatuh” di semua agensi kerajaan yang mana terbabit dalam rasuah, menamakan Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia antara agensi yang akan “dirombak”.

Apandi sebelum ini mengisytiharkan bekas perdana menteri Najib Razak bersih daripada sebarang salah laku berkaitan skandal kewangan 1MDB.

Apandi menjadi peguam negara pada 2015, menggantikan Abdul Gani Patail yang tiba-tiba meletak jawatan kerana “sakit”, ketika siasatan tentang syarikat pelaburan negara itu sedang berjalan. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen