Dr Mahathir jumpa Taib, PBB dijangka sertai Pakatan


The Malaysian Insight

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menemui Yang di-Pertua Sarawak Abdul Taib Mahmud untuk membincangkan kemungkinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Harapan (PH), kata sumber.

Menurust sumber itu, Taib juga akan memanggil Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg untuk membincangkan isu itu.

“Pertemuan Dr Mahathir dan Taib berlaku di Kuala Lumpur. Jika ini terjadi, Sarawak akan bebas daripada BN akan membawa idea agenda Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963,” kata sumber yang enggan dinamakan.

Menurut sumber itu, Abang Johari akan memanggil mesyuarat tergempar pada Rabu depan untuk bertemu ahli Parlimen dan wakil negeri untuk membincangkan kedudukan mereka dalam BN.

BN Sarawak terdiri daripada empat parti, iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Gabungan itu mempunyai 19 ahli Parlimen - 13 daripada PBB, PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1).

Sekiranya 19 ahli Parlimen daripada BN Sarawak beralih kepada PH, parti pemerintah akan mengawal 143 kerusi, kurang lima kerusi untuk membentuk dua pertiga majoriti di Parlimen.

BN hanya mempunyai kurang daripada 60 kerusi.

PH bersama-sama dengan Warisan serta ahli Parlimen Batu (Bebas), akan mempunyai kawalan sebanyak 122 kerusi.

Angka itu meningkat kepada 123 kerusi apabila parti Upko Sabah meninggalkan BN malam tadi, dan presiden parti Madius Tangau, yang juga ahli Parlimen Tuaran, berjanji untuk bekerjasama dengan Warisan dan PH.

Ahli Parlimen Bebas Larry Sng akan terus mesra PH. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen