PAKATAN Harapan (PH) Sarawak menolak sebarang rancangan Barisan Nasional (BN) menyertai gabungan pemerintah, dengan mengatakan ia akan sama seperti bekerja dengan “rejim rasuah”.
Memetik sumber tidak dinamakan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Malaysiakini melaporkan Gabenor Taib Mahmud bertemu dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sumber berkata tentang kemungkinan membentuk gabungan kerajaan negeri dan Taib akan memanggil Ketua Menteri Sarawak Abang Johari sama ada hari ini atau esok untuk hadir sama.
Pengerusi PH Sarawak dan Ketua DAP negeri Chong Chieng Jen berkata sebarang tindakan lompat parti beramai-ramai akan ditentang sepenuhnya oleh PH negeri.
“Mengenai laporan itu, ia adalah sumber yang tidak disahkan sama ada mesyuarat itu berlaku atau tidak. Walau apa pun, PH Sarawak berpegang yang kami tidak akan menerima mana-mana parti BN Sarawak menyertai kami, termasuk PBB.”
“Menerima PBB dalam PH adalah sama seperti Umno menyertai PH di peringkat nasional,” katanya kepada Malaysia Decides.
“Kami sudah berusaha keras menentang rejim rasuah, dan sekarang kita melihat sedikit cahaya dan peluang pemimpin rasuah di BN Sarawak dipertanggungjawab terhadap rasuah dan salah laku yang dilakukan kepada Sarawak, tidak masuk akal membenarkan parti-parti BN Sarawak menyertai PH dan dengan itu akan menutup semua rasuah yang dilakukan mereka.”
“Parti kami berjuang keras dengan integriti dan penyokong menyokong kami melalui masa-masa sukar kerana percaya kepada integriti kami.”
“Oleh itu, kita tidak boleh dan tidak akan menerima BN Sarawak, terutamanya PBB, ke dalam pakatan PH Sarawak,” katanya.
Mengenai khabar angin beberapa anggota Parlimen BN Sarawak menyertai PH, Chong berkata mereka perlu disaring kerana rasuah sebelum dibenarkan lompat parti.
“Mengenai ahli-ahli BN yang melompat, mereka akan diterima tertakluk kepada saringan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.
PBB, komponen dominan Sarawak, mengawal 13 kerusi Parlimen. Parti Rakyat Sarawak (PRS) menguasai tiga kerusi, dua parti Demokrat Progresif (PDP) dan satu kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), menjadikan jumlah ahli Parlimen BN Sarawak 19 orang.
Parti pembangkang Sarawak, khususnya DAP sekian lama menentang pemerintahan BN yang mengatakan pembangunan negeri itu tepu kerana rasuah. Mereka juga menyerang Taib sebagai salah seorang ahli politik paling korup di Malaysia. – 11 Mei, 2018.
Komen