DBKL perlu perjelas kelewatan buka kompleks sukan Brickfields, kata penduduk


Ravin Palanisamy

Kemudahan sukan yang dibina di atas tapak bekas Kelab Sukan DBKL itu kini siap dibina namun tanah itu masih di luar sempadan dan tarikh sebenar pembukaan masih belum diketahui. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2024.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mesti tampil menjelaskan kelewatan membuka kemudahan sukan di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, kata pihak berkepentingan.

Kemudahan sukan yang dibina di atas tapak bekas Kelab Sukan DBKL itu kini siap dibina namun kawasan itu masih di luar sempadan dan tarikh sebenar pembukaan masih belum diketahui.

Pengerusi Rukun Tetangga Brickfields SKK Naidu menggesa DBKL menjelaskan apa yang berlaku terhadap kemudahan itu dan mengapa lewat dibuka walaupun sudah siap.

“Kami membangkitkan perkara itu pada April dan DBKL memberitahu kami perlu menunggu sehingga tahun depan untuk mula menggunakan kemudahan sukan itu.

“Kami terkejut. Kemudahan sudah ada dan sedia digunakan tetapi kenapa tunggu tahun depan. Mungkin beri lagi tiga atau empat bulan, biarkan rumput tumbuh dan selesaikan isu-isu kecil dan kemudian buka.

“Penduduk Brickfields termasuk sekolah sedang menunggu pembukaan kemudahan itu. Kebanyakan sekolah di Brickfields tidak mempunyai kemudahan padang,” kata Naidu kepada The Malaysian Insight.

Pada mulanya projek itu dijadualkan siap dan dibuka untuk digunakan pada Ogos tahun ini.

Bagaimanapun baru-baru ini The Star melaporkan DBKL dijangka membuka kemudahan sukan itu kepada orang ramai menjelang Januari 2025 selepas tamat tempoh liabiliti kecacatan bagi memastikan kemudahan itu berada dalam keadaan baik untuk kegunaan orang ramai.

Naidu bagaimanapun berkata ada sesuatu yang tidak kena dalam projek itu.

Setelah disemak secara rawak beliau berkata projek itu kekurangan infrastruktur asas yang didakwa boleh menjadi punca ia lewat dibuka.

“Selepas ia siap kami terkejut projek itu hanya mempunyai padang, gelanggang futsal dan gelanggang bola keranjang tetapi tiada infrastruktur asas seperti tandas atau bilik persalinan.

“DBKL membelanjakan wang yang banyak tetapi perkara asas seperti tandas dan infrastruktur lain tiada,” katanya.

Beliau berkata DBKL tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan pihak berkepentingan apabila rancangan untuk membangunkan semula kemudahan sukan itu dimulakan.

Memandangkan terdapat kekurangan infrastruktur asas di kemudahan sukan itu, Naidu mendakwa DBKL mungkin mempunyai rancangan untuk menggunakan tandas di Kompleks Tun Sambanthan yang bersebelahan dengan padang.

Ini bagaimanapun bukan satu pilihan yang berdaya maju sama sekali, katanya.

Naidu mendakwa Rukun Tetangga Brickfields antara yang mendesak pembangunan semula padang itu selepas ia ditutup pada 2017 dan ditinggalkan selama bertahun-tahun.

Di kemuncak pandemik Covid-19 pada 2020, Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah menerima permintaan untuk lebih banyak padang permainan diwujudkan.

Bagi memenuhi permintaan itu, Mahadi berjanji untuk menggantikan padang yang ditutup pada 2017 dan pengumuman mengenai pembangunan semula padang di Brickfields dibuat pada 2021.

Naidu berkata Mahadi selaku Datuk Bandar ketika itu sudah mengotakan janjinya tetapi beliau keliru dengan sikap berdiam diri Datuk Bandar sekarang, Kamarulzaman Mat Salleh.

“Apabila projek itu dimulakan, Datuk Bandar sekarang adalah pengarah eksekutif (pengurusan projek) DBKL.

“Bekas Datuk Bandar memberitahu saya untuk menyemak projek ini dengan penggantinya tetapi Datuk Bandar sekarang tidak boleh didekati. Dia tidak membalas surat kami, tiada jawapan,” katanya.

Naidu juga menegaskan mungkin ada motif tersembunyi di sebalik semua penangguhan itu.

“Terdapat juga dakwaan daripada sumber rapat ada pihak mahu menjual tanah yang diduduki ini.

“Tetapi bekas Datuk Bandar itu tidak memberi laluan. Jadi, mungkin ada agenda tersembunyi di sebaliknya. Kita tidak tahu,” tambahnya.

Bagi mempercepatkan perkara itu Naidu berkata pihak berkepentingan meminta bantuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

“Menteri itu berkata dia akan datang untuk membuat tinjauan. Apabila dia turun, kami berhasrat untuk menunjukkan padang dan bertanya kepadanya apa yang berlaku.

“Jadi, kita tunggu walkabout dengan menteri,” katanya.

Yuran minimum

DBKL sebelum ini berkata kemudahan sukan itu akan diuruskan oleh Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukannya.

Naidu turut menggesa kemudahan sukan itu diletakkan terus di bawah DBKL dan bukannya di bawah jabatan itu.

“Puncanya kerana kita mahukan kemudahan itu percuma untuk penduduk di sini.

“Jika ia di bawah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, maka mereka akan mengenakan bayaran semula.

“Walaupun ia bukan percuma, mereka boleh mengenakan bayaran minimum kerana kami faham kemudahan itu perlu diselenggara tetapi kami berharap mereka tidak mengenakan caj berlebihan,” katanya.

Sementara itu penduduk tempatan Manivannan Letchumanan menggesa DBKL tampil memberikan alasan mengapa kemudahan itu lewat dibuka.

Beliau juga mempersoalkan kualiti kerja Jabatan Perancangan susulan kekurangan kemudahan tandas dan infrastruktur asas lain.

“Apa yang berlaku dengan perancangan kemudahan sukan, lukisan yang diserahkan kepada arkitek dan lain-lain? Adakah mereka diserahkan untuk kelulusan?

“Adakah mereka tidak mengetahui ketiadaan tandas pada peringkat awal? Itu perkara pertama yang mereka akan bincangkan kerana sebelum ini terdapat bangunan sedia ada yang mempunyai bilik persalinan, stor, tandas dan lain-lain,” katanya.

Manivannan berkata kompleks sukan lama DBKL itu mempunyai gelanggang badminton, tenis dan bola tampar tetapi kemudahan semasa tidak mempunyai semua itu.

“Apa yang saya dapat lihat, tiada gelanggang badminton, tenis atau bola tampar tetapi ada dua gelanggang bola keranjang. Kenapa tidak ada kemudahan lain?,” katanya.

Beliau juga mahu kemudahan sukan itu disediakan secara percuma untuk penduduk dalam kes tertentu.

Manivannan yang bermain bola sepak di padang sejak 25 tahun lalu berkata padang itu sepatutnya untuk tujuan peningkatan sosial.

“Setiap penduduk setempat perlu diberi peluang menggunakan padang secara percuma untuk tujuan pembangunan masyarakat.

“Mungkin dalam seminggu, tiga hari boleh percuma untuk kegunaan masyarakat dan penduduk pada masa tertentu.

“Mereka boleh mulakan dengan memohon slot mereka dan penduduk harus diutamakan kerana tiada padang awam untuk mereka di sini.

“Penduduk yang ingin menyewa tempat itu untuk acara dan berkemungkinan ada kejohanan, mereka boleh diberi diskaun. Jadi dalam aspek ini ada keseimbangan untuk mempertingkatkan tujuan kemasyarakatan dan juga untuk acara persendirian,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Kavilan, 37, juga berkata, padang itu penting untuk pembangunan masyarakat terutamanya kanak-kanak di Brickfields.

Beliau berkata kanak-kanak di kawasan sekitar tidak mempunyai padang permainan sejak 2017 apabila kompleks sukan sebelum ini dirobohkan.

“Saya bermain bola sepak di sini dari usia muda sehingga ia ditutup. Kanak-kanak hari ini tidak mempunyai padang atau kemudahan sukan yang sesuai.

“Kebanyakan ibu bapa terpaksa membawa anak ke tempat lain kerana tiada tempat di sini untuk mereka bermain, mengembangkan kemahiran dan atau berkawan,” katanya.

Kavilan, generasi ketiga dalam keluarganya yang menetap di Brickfields berkata kekurangan padang permainan awam di ibu kota membimbangkan.

“Projek perumahan PR1MA di sini siap dan orang ramai akan berpindah tidak lama lagi. Kemudian ada pangsapuri kerajaan di Jalan Ang Seng.

“Sekarang MRCB (Malaysia Resources Corporation Berhad) baru sahaja menyiapkan salah satu projek kediamannya. Jadi, di manakah mereka ini akan menyertai aktiviti sukan?,” katanya.

Beliau menggesa DBKL mempercepatkan pembukaan kemudahan sukan DBKL itu. – 1 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen