MB Selangor menghadap Sultan bentang nama exco


The Malaysian Insight

MENTERI Besar Selangor yang baru dilantik, Mohamed Azmin Ali akan menghadap Sultan Selangor pada Ahad ini untuk membentangkan barisan baharu exco negeri.

Beliau berkata majlis angkat sumpah akan diadakan pada Isnin, jam 2.30 petang.

“Saya perlu berbincang dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) berdasarkan kepada kerusi dimenangi setiap parti. Kami akan berbincang agihan terbaik untuk PH.

“Kami perlu bekerja sebagai satu pasukan iaitu PH dan saya pasti kami akan dapat mencapai persepakatan sebelum Ahad,” katanya kepada wartawan selepas majlis angkat sumpahnya sebagai menteri besar di Istana Alam Shah, Klang.

Pada penggal terdahulu, empat kerusi exco diperuntukkan untuk PKR, masing-masing tiga untuk DAP dan PAS.

Azmin berkata mesyuarat dengan wakil parti PH diadakan sejak pagi tadi untuk membincangkan perkara itu.

Beliau berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihati supaya exco dipilih berdasarkan kepada kelayakan mereka berkhidmat untuk rakyat.

PH memperoleh 51 daripada 56 kerusi DUN pada PRU14, berbanding hanya 40 kerusi pada PRU13.

Berkenaan jumlah pembangkang yang kecil di Selangor, Azmin berkata ia sebahagian daripada proses demokrasi tetapi semua wakil yang dilantik perlu bekerjasama meskipun berlainan pandangan dan ideologi politik.

“Saya alu-alukan mereka dalam dewan undangan negeri Selangor dan saya fikir mereka perlu berbincang, berdebat demi kepentingan Selangor dan rakyat. Saya anggap mereka sebahagian ahli Dewan.

“Ini tanggungjawab kita membangunkan Selangor demi kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata ketua umum PKR Anwar Ibrahim sangat gembira dengan sokongan rakyat kepada PG dan pelantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ke-7.

“Beliau percaya kepimpinan Tun Dr Mahathir akan mampu menarik lebih banyak sokongan rakyat dan kita akan terus bekerja sebagai satu pasukan untuk Malaysia,” katanya. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen