Kemelut program latihan ijazah kepakaran


Ravin Palanisamy

UiTM satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang kardiotorasik. – Gambar Facebook, 31 Mei, 2024.

PROGRAM latihan ijazah kepakaran atau parallel pathway menjadi tajuk berita sejak beberapa minggu ini, bermula daripada sektor penjagaan kesihatan yang amat memerlukan pakar, kemudian berubah menjadi perbahasan perkauman.

Tidak ada perbalahan berkenaan betapa perlunya masalah kekurangan doktor pakar diselesaikan, terutama pakar bedah kardiotoraks, terutama di hospital awam.

Tetapi sebelum penyelesaian dapat dibuat, perkara itu dirampas oleh banyak pihak yang menukar masalah itu menjadi isu sensitif tentang kaum, agama dan hak Bumiputera.

The Malaysian Insight melihat semula isu itu dalam bentuk penjelasan.

Apa itu program a parallel pathway?

Program latihan ijazah kepakaran di negara ini pada masa ini kebanyakannya ditawarkan di universiti awam melalui program sarjana klinikal dan Kementerian Kesihatan menerusi parallel pathway.

Parallel pathway adalah satu bentuk latihan berstruktur semasa kerja disediakan oleh kementerian untuk doktor yang memilih menduduki peperiksaan antarabangsa yang dijalankan institusi luar negara.

Program ini membenarkan pakar kesihatan rakyat Malaysia mendapatkan latihan kepakaran untuk kelayakan pasca ijazah terpilih di luar negara, bagi mengurangkan masalah kekurangan pakar di dalam negara.

Apa masalahnya?

Isu menyelubungi program parallel pathway menjadi perhatian ramai apabila Majlis Perubatan Malaysia (MMC) enggan mengiktiraf kelayakan pakar bedah kardiotoraks dari Kolej Pakar Bedah Diraja Edinburgh.

Pembedahan kardiotoraks biasanya merujuk kepada pembedahan jantung, paru-paru, esofagus dan organ berkaitan lain di bahagian dada.

Ini menyebabkan graduan rakyat Malaysia – semuanya doktor di pusat kesihatan awam – yang dihantar kerajaan untuk pengajian pembedahan kardiotoraks di Kolej Pakar Bedah Diraja Edinburgh (RCSEd), tidak dapat berkhidmat di Malaysia.

Empat daripada graduan terbabit mengambil tindakan undang-undang terhadap MMC kerana enggan mendaftarkan mereka di cawangan Daftar Kepakaran (NSR).

Pada Mac, Yang Dipertua MMC Dr Muhammad Radzi Abu Hassan yang juga ketua pengarah kesihatan mendakwa MMC tidak pernah mengiktiraf Felo Kolej Pakar Bedah Diraja Edinburgh (FRCSEd) dalam pembedahan kardiotoraks.

Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) berkata keengganan MMC mendaftarkan permohonan kepakaran empat graduan parallel pathway dalam pembedahan kardiotoraks meletakkan risiko tinggi kepada pesakit jantung, terutama ketika negara mengalami kekurangan pakar bedah jantung.

Menurut MATCVS, Kementerian Kesihatan (KKM) yang memulakan program parallel pathway dalam pembedahan kardiotoraks pada 2016 dengan kerjasama Akademi Perubatan Malaysia (AMM), dan rakan kerjasama antarabangsa Kolej Pakar Bedah Diraja Edinburgh di United Kingdom.

Mereka berkata program itu diluluskan oleh KKM, AMM dan Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerajaan menyediakan biasiswa penuh untuk pelajar sarjana untuk latihan dalam pembedahan kardiotoraks.

MATCVS berkata program dari RCSEd diiktiraf sepenuhnya di Singapura, Hong Kong dan Brunei selain diterima dan didaftarkan di UK.

Menurut MATCVS, 33 pakar bedah menyertai program parallel pathway dalam pembedahan kardiotoraks sejak 2016, dengan 22 daripadanya ditaja oleh KKM dan selebihnya pelatih dari IJN dan Universiti Malaya. – 31 Mei, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen