6 Adun BN sokong Warisan, Shafie mahu TYT tuntut Musa letak jawatan


The Malaysian Insight

ENAM Adun yang menang di kerusi negeri Sabah atas tiket Barisan Nasional – empat daripada Umno dan dua Upko, mengesahkan menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai ketua menteri Sabah.

Mereka ialah Osman Jamal (Balung), Hamisah Samad (Tanjong Batu), Jamawi Jaafar (Kemabong), Abdul Muis Picho (Sebatik) dari Umno dan Abidin Madingkir (Panginatan) serta Ewon Benedict (Kadamaian) dari Upko.

Kesemua mereka muncul bersama Shafie di kediamannya hari ini untuk sidang media selepas bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin di Istana Anak Negeri Sabah petang tadi.

Dengan ini, gabungan Warisan Sabah mempunyai 35 daripada 60 kerusi di DUN dan menjadi majoriti.

Shafie pada sidang media itu berkata keenam-enam Adun itu telah bertemu dengan Juhar dan menyatakan pendirian untuk tidak menyokong Pengerusi BN Sabah Musa Aman yang mengangkat sumpah semalam.

“Kesemua 35 mereka turut memberikan perisytiharan berkanun dan mengikut peraturan.

“Tiada sogokan, imbuhan diberikan. Mereka tidak ditahan tanpa rela di rumah saya seperti yang anda lihat,” katanya pada sidang media di rumahnya sebentar tadi.

Shafie turut tidak menolak kemungkinan akan ada lebih ramai Adun BN menyokong beliau selepas ini kerana mahu meninggalkan BN yang tidak membantu rakyat Sabah.

Bagaimanapun beliau tidak memberikan tempoh masa status majoriti di DUN Sabah itu diselesaikan.

“Kita harap Musa dan semua ikut undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ewon salah seorang daripada lima wakil Upko yang semalam menyokong Musa berkata beliau dan Abidin bertemu dengan Juhar sebelum majlis angkat sumpah semalam.

“Sebelum itu kami tidak tahu pendirian Upko kerana majlis tertinggi parti masih tidak menyatakan pendirian (untuk sokong Warisan) dan kami ada pra perjanjian sokong BN sebelum ini.

“Kemudian, kami nyatakan pendirian kami kepada TYT dan ia menyebabkan majlis angkat sumpah (yang sepatutnya berlangsung jam 8 malam) ditunda,” katanya pada sidang media sama.

Semalam, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau mengumumkan parti itu keluar dari BN dan akan menyokong Warisan.

Muis pula berkata beliau dan Hamisah berbincang pagi ini dan menyatakan hasrat untuk bertemu Shafie kerana mahukan yang terbaik untuk pembangunan kawasan mereka.

“Apabila kerajaan negeri dan persekutuan tidak ada hubungan jadi susah nak bangun kan. Masuk Warisan bukan untuk kepentingan kita tapi kepentingan rakyat,” katanya.

Hamisah ketika ditanya wartawan turut mengesahkan mereka hadir kepada Shafie tanpa sebarang paksaan. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen