BERSIH 2.0 akan tetap membongkar kes penipuan dan salah laku Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRU14, walaupun Pakatan Harapan (PH) menang.
Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari berkata penipuan pilihan raya yang dibuat pada PRU14 tidak boleh dibiarkan begitu saja.
“Bersih 2.0 membuat banyak pendedahan melalui sidang media dan kenyataan media sebelum dan sepanjang PRU14.
“Malah, disimpulkan pada 6 Mei bahawa PRU14 sudah tidak bersih, tidak bebas dan tidak adil walaupun sebelum hari pengundian,” kata Shahrul kepada Malaysia Decides.
Shahrul berkata penipuan pada PRU14 bagaimanapun dapat “dikalahkan” apabila Bersih 2.0 menyeru rakyat keluar beramai-ramai untuk mengundi.
“Buat masa ini, kami sedang menyusun laporan daripada insiden yang telah dilaporkan masyarakat ke (laman) pemantau.org.
“Juga, ejen penjumlahan sudah mula menyoal dan membuat laporan polis berkenaan keengganan Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk menandatangani Borang 14.
Shahrul berkata Bersih 2.0 masih relevan dan tetap akan diteruskan walaupun Barisan Nasional (BN) sudah kehilangan kuasa.
“Bersih 2.0 adalah bebas, tiada berkepentingan dan tidak berpihak. Kerajaan sudah bertukar, namun sistem masih perlu diperbaiki.
“Kerja-kerja memperjuangkan reformasi institusi dan pilihan raya adil, bersih dan telus perlu diteruskan,” katanya.
Shahrul berkata Bersih 2.0 mengharapkan kerjasama yang lebih baik daripada kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad untuk melakukan reformasi pilihan raya.
“Kita akan terus berusaha untuk berkembang dan berperanan. Namun, hanya masa dan rakyat akan tentukan. Bersih 2.0 hak dan nadi rakyat,” katanya.
Juru Rujuk Bersih 2.0 Hishamuddin Rais pula berkata antara contoh penipuan PRU14 yang jelas ialah apabila Naib Presiden PKR Chua Tian Chang dihalang untuk bertanding.
“Begitu juga dengan calon PKR Rantau Dr S Streram dihalang untuk bertanding sehingga Mohamad Hasan menang tanpa bertanding.
“Kita akan bongkar semua ini dan penipuan lain-lain,” katanya. – 11 Mei, 2018.
Komen