AGENSI antirasuah tidak mahu dituduh bermain politik dalam isu siasatan ke atas kontrak kerajaan Selangor kepada syarikat dikaitkan dengan suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Ketua pesuruhjayanya Azam Baki berkata, tidak adil untuk melengah-lengahkan hasil siasatan kerana projek pengangkutan Demand Responsive Transit (DRT) satu keperluan rakyat Selangor.
Azam juga sedar banyak pihak tidak senang dengan pengumumannya semalam mengenai siasatan ke atas syarikat dipimpin suami Yeoh, Ramachandran Muniandy itu.
Bagaimanapun, beliau perlu bertindak dengan adil dan mengumumkan keputusan segera semalam memandangkan siasatan sejak awal sememangnya mendapati tiada kes, katanya.
“Saya sedar akan timbul reaksi balas, tetapi kena mulakan. Jika tidak kita akan dituduh main politik,” kata Azam lagi dalam satu program dialog bersama pengarang portal berita di Putrajaya.
Jika tidak, projek teknologi pengangkutan itu tidak dapat dimulakan, kata Azam yang menjelaskan, siasatan ke atas pegangan syarikat tersebut mendapati tiada konflik kepentingan Yeoh.
“Kita mempunyai rangkaian untuk menyiasat. Kami boleh siasat dengan mudah jika ada kepentingan sesiapa. Jadi kami sudah siasat dengan terperinci.
“Jadi apa yang anda mahu? Anda mahu kami panggil Hannah? Panggil suaminya? Panggil syarikatnya dan rakam kenyataan? Itu yang anda mahu?”
Jelasnya tiada konflik kepentingan dalam kes berkenaan kerana Yeoh tidak terlibat dalam membuat keputusan memandangkan projek berkenaan dianugerahkan kerajaan negeri.
Azam turut menjawab kritikan dibangkitkan pemimpin Umno Mohd Puad Zarkashi yang membandingkan kes syarikat suami Yeoh dengan skandal National Feedlot Corporation tahun 2011.
Katanya, SPRM tidak menyiasat Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil, yang merupakan seorang menteri ketika projek bawah kementerian pertanian itu diluluskan.
Sebaliknya, siasatan dijalankan ke atas suami Shahrizat yang memimpin NFC waktu itu, Mohamad Salleh Ismail, kata Azam.
Asia Mobility merupakan salah satu satu daripada dua syarikat yang terpilih untuk sistem DRT bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan perbatuan pertama dan terakhir di Selangor. – 28 Mei, 2024.
Komen