Ali Rustam dilantik semula sebagai YDP Melaka bagi penggal kedua


Ravin Palanisamy

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Mohd Ali Mohd Rustam sebagai YDP Melaka bagi penggal kedua bermula 4 Jun, 2024. – Gambar Facebook Istana Negara, 28 Mei, 2024.

ANAK kelahiran Melaka, Mohd Ali Mohd Rustam dilantik semula sebagai yang Yang Dipertua Negeri (YDP) Melaka untuk penggal kedua.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Ali sebagai YDP Melaka bagi penggal kedua bermula 4 Jun, 2024.

Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara yang turut disaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa; Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul; Ketua Menteri Melaka Rauf Yusoh serta Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Ibrahim Durum.

Ali, 74, sebelum ini dilantik sebagai YDP Melaka ketujuh pada 4 Jun, 2020 bagi menggantikan Mohd Khalil Yaakob.

Beliau adalah ahli politik kelahiran Melaka yang pertama dilantik memegang jawatan itu.

Ali berkelulusan Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pernah menyandang jawatan timbalan menteri kesihatan dan Ahli Parlimen Batu Berendam sejak 1995 hingga 1999 serta ketua menteri Melaka kesembilan dari 1999 hingga 2013.

Rauf menerusi Facebook turut mengucapkan tahniah atas lantikan semula Ali. – 28 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen