Saya tiada apa-apa yang disembunyikan, kata Apandi


The Malaysian Insight

PEGUAM Negara Mohamed Apandi Ali menafikan dakwaan beliau menyembunyikan bukti yang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika membersihkan bekas perdana menteri Najid Razak daripada salah laku dalam skandal itu, lapor New Straits Times.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan fakta dan undang-undang yang ada, prosedur dan substantif.

“Niat saya jelas dan saya akan telus dan bersedia untuk mendedahkan semuanya. Tiada apa-apa disembunyikan dan saya tidak bertindak dengan motif atau agenda tersembunyi.

“Apa yang paling penting ialah kedaulatan undang-undang diguna pakai dan sebarang tindakan yang perlu diambil atau dilakukan oleh sesiapa mestilah mengikut undang-undang,” katanya kepada NST.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Apandi kehilangan kredibiliti.

Beliau mengisyaratkan Apandi tidak akan lama bertugas kerana mempunyai bukti yang disembunyikan, yang bertentangan dengan undang-undang.

“Kita perlu melihat siapa peguam negara itu. Pada masa ini, peguam negara menjejaskan kredibilitinya sendiri,” kata Dr Mahathir. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen