Akhirnya rakyat paksa Umno berubah


The Malaysian Insight

APABILA pemimpin dan ahli Umno berhimpun untuk menyambut ulang tahun parti itu malam ini, suasananya tidak lagi akan sama seperti majlis setahun yang lalu – ketika parti itu masih dalam kerajaan.

Setahun yang lalu, majlis itu diadakan dengan besar-besaran di Stadium Nasional Bukit Jalil. Suasana ketika itu hangat menunggu pilihan raya umum. Umno menyimbah stadium itu dengan pemimpin dan ahli yang berpakaian serba merah stadium untuk membakar semangat menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pilihan raya umum dua hari lalu itu bagaimana jadi titik mengubah cerita.

Rakyat menolak Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Umno. Umno hanya menang 47 kerusi Parlimen (tidak termasuk 7 di Sabah) dan 129 kerusi negeri. Johor yang jadi kubu kuat Umno, tempat parti keramat itu dilahirkan di Istana Besar Johor Bahru, sudah tembus.

Tujuh ahli Parlimen Umno di Sabah itu belum pasti apakah akan meninggalkan parti itu nanti, ketika rakan-rakan mereka yang menang kerusi negeri telah mula menyertai Warisan hari ini. Keadaan itu akan mula ternampak lebih jelas beberapa hari akan datang.

Tetapi berapa pun angka akhir sebenarnya – 47 atau 54 kerusi di Parlimen, hakikatnya rakyat menolak BN dan Umno.

Hakikat itulah yang mesti diterima oleh Umno – dan sedang ia belajar untuk menerimanya.

Inilah masanya untuk Umno melakukan pembetulan yang sejak selepas pilihan raya umum 2008 jadi butir ucapan pemimpin-pemimpinnya pada setiap perhimpunan tahunan parti.

Umno tidak boleh selama-lamanya selepas ini menyalahkan lawannya sebagai alasan kenapa rakyat menolak mereka. Tidak boleh.

Umno mesti bercermin melihat diri sendiri dan melakukan pembetulan yang tertangguh sejak sekurang-kurangnya 10 tahun lalu.

Oleh sebab Umno dalam tempoh 10 tahun yang lalu tidak berubah, maka rakyat pun menggunakan kuasanya – sebagai pemegang kuasa mutlak – untuk memaksa perubahan berlaku dalam parti itu.

Bahawa Umno sebuah parti yang berjasa adalah hakikat yang tiada siapa pun menafikannya. Tetapi Umno tidak boleh selama-lamanya terbuai dengan romantisme masa lalu dan dengan angkuh mengharapkan kesetiaan membabi buta ketika kehendak dan tuntutan zaman tidak lagi sama seperti masa lalu.

Umno tidak boleh wujud dalam kepompong masa lalu. Ia harus bangkit daripada lena dan betul-betul membaca suasana.

Apakah rakyat akan menerima Umno semula selepas ini?

Tiada siapa yang tahu.

Selamat Hari Umno ke-72. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen