BARISAN Nasional (BN) mesti mempersembahkan sekurang-kurangnya 30 Adun Perak kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah esok bagi menyokong usahanya membentuk kerajaan negeri.
“Pejabat Sultan menerima surat daripada BN mengatakan ia mempunyai majoriti mudah,” katanya.
“27 Adun BN dan tiga Adun PAS bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran,” kata seorang wakil Sultan, Mohd Annuar Zaini, di luar kediaman kerajaan di Ipoh sebelum ini.
“Namun, Tuanku ingin mengesahkan kandungan surat itu. Baginda meminta agar BN membawa kesemua 30 wakil rakyat untuk membuktikan ia mempunyai sokongan mereka.
“Sultan memberikan keutamaan kepada PH kerana ia mempunyai kerusi paling banyak tetapi perlu membuktikan ia mempunyai 30 kerusi kerana sultan perlu bertindak mengikut perlembagaan Perak,” kata Annuar.
“Sekiranya PH tidak dapat membuktikan ia mempunyai majoriti mudah, baginda tidak boleh menangguhkan pembentukan kerajaan negeri,” katanya.
PH meminta lanjutan sehingga 2 petang esok untuk mendapatkan majoriti mudah, kata Annuar.
BN memanggil sidang akhbar malam tadi untuk mengisytiharkan ia mempunyai majoriti mudah tanpa kehadiran tiga ahli Dewan Undangan Negeri PAS baru yang menyokongnya.
Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berada di Terengganu hari ini untuk bertemu dengan kepimpinan pusat parti bagi membincangkan pembentukan kerajaan campuran dengan BN atau PH.
PH memenangi 29 kerusi, kekurangan satu kerusi bagi meraih majoriti mudah 30 untuk membentuk kerajaan negeri. – 11 Mei, 2018.
Komen