PAS menawarkan supaya kerajaan perpaduan yang dianggotai semua parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ditubuhkan bagi menyelesaikan kebuntuan di Perak.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat jawatankuasa kerja pusat parti itu hari ini.
“Dengan syarat kerajaan perpaduan ini dipimpin oleh seorang Islam yang dipersetujui oleh majoriti Adun Islam.
“Manakala exco kerajaan negeri mestilah majoritinya daripada kalangan Adun beragama Islam,” kata ahli Parlimen Marang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Pada PRU14 lalu, tiada parti yang mempunyai jumlah kerusi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.
PH memenangi 29 kerusi, Barisan Nasional BN 27 dan PAS 3.
Parti yang mahu membentuk kerajaan di Perak memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi.
Semalam PAS Perak memberikan petunjuk untuk bergabung dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri.
Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata partinya sudah pasti memilih rakan yang boleh memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memperjuangkan Islam.
Sekiranya PAS bergabung dengan BN, mereka mampu membentuk kerajaan dengan kelebihan satu kerusi, sekali gus menjadikannya tidak stabil. – 11 Mei, 2018.
Komen