SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan menyiasat semua laporan berhubung salah laku rasuah yang berlaku sepanjang musim Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang baru lalu, lapor Berita Harian.
Memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasinya, Azam Baki, laporan itu menyebut SPRM menerima banyak aduan di seluruh negara termasuk dakwaan ada pihak menerima rasuah semasa kempen pilihan raya.
“Kita perlu mengenal pasti lokasi, suspek dan penerima bagi kegiatan rasuah yang didakwa berlaku itu.
“Ini disebabkan banyak visual yang menunjukkan orang menerima sampul surat. Jadi, kita perlu mendapatkan keterangan dan menyiasat penerima berkenaan,” kata Azam seperti dipetik portal berita akhbar itu.
Beliau turut dipetik berkata SPRM menerima banyak bukti dalam bentuk gambar dan video mengenai perbuatan rasuah sepanjang tempoh tersebut.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata agensi anti rasuah itu dilihat tidak mempedulikan perbuatan rasuah yang berlaku secara berleluasa sepanjang PRU14 yang berakhir kelmarin.
Kata Dr Mahathir, pentadbirannya akan mengkaji sikap SPRM itu dan akan mengambil tindakan termasuk menukarkan pimpinannya jika dikesan berat sebelah terhadap apa yang berlaku.
Beliau juga berkata kerajaannya tidak akan mengiktiraf kerajaan baru di Sabah sekiranya terdapat unsur rasuah dalam proses pembentukannya selepas rakyat bersuara dalam PRU14. – 11 Mei, 2018.
Komen