NAIB Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah buat kali kedua di Istana Anak Bukit Besar, Alor Setar, Kedah hari ini.
Beliau mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan di hadapan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Pada PRU14, Mukhriz menewaskan penyandang kerusi DUN Jitra, Aminuddin Omar daripada Barisan Nasional (BN) dan calon PAS, Zulhazmi Osman dengan majoriti 10,849 undi.
Mukhriz yang juga ketua PH Kedah menewaskan penyandang kerusi Parlimen Jerlun, Othman Aziz dan calon PAS, Abd Ghani Ahmad dengan majoriti 10,195 undi.
Pada 2013, anak lelaki ketiga Dr Mahathir Mohamad itu menjadi menteri besar Kedah kali pertama.
Pada tahun itu, beliau dicalonkan sebagai menteri besar Kedah sebagai strategi Umno untuk menawan semula negeri itu yang terlepas ke tangan PAS pada PRU12.
Selepas bapanya, Dr Mahathir lantang menyerang bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mukhriz didesak meletak jawatan kerana beliau juga cenderung tidak mempertahankan perdana menteri.
Ahmad Bashah Hanifah yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kedah kemudiannya mengetuai sekumpulan pemimpin Umno negeri secara terbuka menyatakan hilang percaya kepada kepimpinan Mukhriz pada 20 Januari, 2016.
Dua minggu kemudian, Mukhriz letak jawatan selepas hilang kawalan terhadap ADUN.
Pada PRU14, PH menang 18 daripada 36 kerusi DUN di Kedah sementara PAS (15) dan BN (3). – 11 Mei, 2018.
Komen