PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan beliau tidak akan menyertai kerajaan negeri Johor yang akan dibentuk oleh Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Pagoh dan Adun Gambir itu sebaliknya menyatakan beliau memilih untuk menjadi jambatan penghubung antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.
“Nama saya tiada dalam senarai (menteri besar), saya buat keputusan begitu untuk beri laluan kepada orang muda. Masa saya telah berlalu dan boleh dimanfaatkan untuk beri tunjuk ajar.
“Nanti bila dah terbentuk kerajaan negeri saya akan cadangkan penubuhan majlis pembangunan ekonomi negeri dibentuk dan saya akan curahkan khidmat saya di situ. Saya akan jadi jambatan penghubung antara Johor dan kerajaan Persekutuan,” katanya, ketika sidang media di Senai, hari ini.
Awal hari ini Muhyiddin mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bagi menghantar nama calon menteri besar PH negeri itu.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan nama dan calon pilihan Sultan Ibrahim.
“Tuanku berkenan mengadakan majlis angkat sumpah menteri besar pada esok pukul 3 petang di Johor Bahru,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata, sebaik sahaja menteri besar selesai dilantik, beliau akan melantik 10 barisan exco negeri.
Turut hadir dalam sidang media hari ini adalah adun-adun PH Johor yang menang di kerusi ditandingi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
PH memenangi 36 kerusi menewaskan Barisan Nasional (BN) yang memperolehi 19 dan PAS 1 kerusi sekaligus membentuk kerajaan negeri baharu di Johor. – 11 Mei, 2018.
Komen