KABINET hari ini bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ini bermakna tidak semua individu akan menikmati subsidi bahan api buat masa ini.
Anwar berkata warga asing dan kumpulan T20 akan dikecualikan.
Beliau berkata penyasaran subsidi akan mula dilaksanakan ke atas diesel.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata penyasaran subsidi diesel bagaimanapun tidak membabitkan pengguna di Sabah dan Sarawak.
“Hampir semua keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel untuk kenderaan mereka.
“Jadi kita tangguh sebarang tindakan kerana ia akan menyusahkan ramai orang,” katanya dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam ini.
Anwar berkata kerajaan dapat berjimat RM4 bilion setahun menerusi pelaksanaan menyasarkan subsidi diesel.
Butiran pelaksanaan penyasaran itu akan diumumkan oleh menteri kewangan II tidak lama lagi.
“Saya memberi jaminan kebajikan rakyat akan terus terpelihara dalam menangani kos sara hidup.
“Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20,” katanya.
Bagaimanapun, di Semenanjung, bagi mengurangkan kenaikan mendadak harga barang, kerajaan akan memberikan berikan subsidi kepada pengguna komersial termasuk 10 jenis kenderaan dan 23 pengangkutan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.
“Ini termasuk pengusaha bas dan teksi. Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu.
“Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil,” katanya.
Anwar berkata sebahagian penjimatan itu dapat digunakan dengan menambah baik bantuan kepada rakyat.
“Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditambah baik dengan meningkatkan peruntukan kepada RM700 juta, yakni lebih lima kali ganda ketimbang RM130 juta tahun lalu.
“Kita juga meluaskan bilangan penerima kepada 700,000 dan menambah nilai bantuan kepada RM1,200 ketimbang RM600.
Katanya, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan sebanyak RM2 bilion atau 25% iaitu daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion (2024) yang memanfaatkan sekitar 9 juta penerima bersamaan 60% penduduk dewasa Malaysia.
“Bantuan murid sekolah juga ditambah baik. Bermula 2023, kita memperluas Bantuan Awal Persekolahan kepada semua murid daripada darjah 1 hingga tingkatan 5 dengan peruntukan hampir RM800 juta,” katanya. – 21 Mei, 2024.
Komen