NAZIR Razak memuji Dr Mahathir Mohamad yang kembali menjadi perdana menteri, di sebalik kekalahan abangnya, iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Najib Razak pada PRU14.
Menerusi akaun Instagram, Nazir memuji negarawan berusia 93 tahun itu dan juga rakyat Malaysia kerana membuat perubahan kali ini.
“Tiada kata-kata yang paling tepat untuk menggambarkan perjalanannya kembali ke jawatan lamanya.
“Malaysia juga menentang trend global dengan peralihan kuasa yang aman sejajar dengan hasrat rakyat untuk Malaysia, ikon demokrasi yang baharu,” tulis Nazir.
Beliau juga, di sebalik perseteruan antara Dr Mahathir dan Najib, sering memuji bapa mereka, Abdul Razak.
Nazir berkata rakyat Malaysia kini berpeluang membina semula negara ini tanpa sebarang halangan.
“Seperti yang pernah saya katakan, Malaysia perlu pengubahsuaian semula secara besar-besaran, tetapi semua cubaan di bawah kerajaan lama gagal dibuat kerana struktur yang tegar dan berkepentingan,” katanya. – 11 Mei, 2018.
Komen