Adun Warisan berkumpul di rumah Shafie


The Malaysian Insight

KESEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan, PKR dan DAP kini berkumpul di kediaman Shafie Apdal di Kota Kinabalu memakai pakaian formal.

Mereka berkumpul sejak jam 2.30 petang atas arahan Shafie yang mendapat sokongan majoriti dengan kemasukan dua Adun Umno dan tiga daripada Upko hari ini.

Shafie kini ada bersama bekas ahli Umno Hamisah Samat (Tanjung Batu) dan Abdul Muis Picho (Sebatik) serta tiga lagi Adun Upko yang sebelum ini menyokong BN Abidin Madingkir (Panginatan), Bobby Suan (Nabawan) dan Ewon Benedict (Kadamaian) untuk menghantar surat rasmi bertukar parti kepada Juhar.

Dengan kemasukan mereka ke parti itu, Warisan kini mempunyai 34 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) dan Star yang mempunyai 26 kerusi.

Menurut sumber Warisan, Shafie akan kembali ke kediamannya sekiranya tidak dapat bertemu Juhar hari ini.

Sementara itu, pemimpin Warisan, Ahuar Rasam yang tiba di Istana Negeri sebentar tadi memberitahu media kesemua Adun itu tidak akan mengangkat sumpah hari ini, tetapi esok dan mendesak Musa Aman untuk meletakkan jawatan.

Musa, pengerusi BN Sabah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada jam 11.06 malam tadi untuk penggal ke lima sejak 2003 sejak 1996.

Dalam pada itu, sumber memberitahu selepas mengangkat sumpah malam tadi, kedudukan Musa sebagai ketua menteri hanya boleh dibatalkan melalui undian tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen