Umno perlu lalui perubahan besar, kata Khairy


The Malaysian Insight

KHAIRY Jamaluddin mahu semua ahli Umno bersatu untuk membina semula parti itu selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata Umno perlu kembali kepada semangat asalnya yang dekat dengan rakyat serta serta tidak sombong.

“Saya mahu Umno kembali menjadi parti untuk orang ramai. Parti yang jaga maruah orang Melayu, yang menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain, parti yang tidak rasis – parti yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat,” kata Khairy dalam perutusannya bersempena ulang tahun Umno ke-72 hari ini.

Khairy mengakui beliau tidak pernah membayangkan akan meraikan ulang tahun Umno ketika Barisan Nasional (BN) bukan lagi sebuah Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata perubahan besar dalam Umno harus dilakukan dengan segera supaya parti itu kembali relevan.

“Saya mengajak rakan-rakan yang ingin membina semula Umno daripada keruntuhan yang kita lihat hari ini, untuk bersama-sama dengan saya kerana perubahan ini mesti bermula dengan serta-merta.

“Kita tidak boleh tangguhkannya lagi. Jasa Umno kepada agama, bangsa dan negara terlalu besar untuk kita biar parti keramat ini musnah dan hilang selama-lamanya,” kata ahli Parlimen Rembau itu.

Bagaimanapun, Khairy tidak menyebut apakah perubahan besar yang beliau maksudkan.

Semalam, Khairy meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kelemahan BN dan mendakwa kelemahan itu berpunca dari pemimpin, bukan parti. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen