Anwar tidak dibebaskan hari ini, kata Nurul Izzah


The Malaysian Insight

KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim tidak akan dibebaskan hari ini, kata puteri sulungnya, Nurul Izzah.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga tidak mengetahui bilakah tarikh sebenar bapanya akan dibebaskan.

“Anwar tidak akan dibebaskan hari ini, saya juga tidak mengetahui bilakah Anwar akan dibebaskan,” kata naib presiden PKR itu kepada Malaysia Decides.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil turut mengesahkan Anwar tidak akan dibebaskan pada hari ini.

Ahli Parlimen parti kerajaan itu menyatakan demikian susulan pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bersedia memberikan pengampunan diraja kepada Anwar yang sedang dipenjarakan.

Menurut Dr Mahathir, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam pertemuan bersamaAgong semasa istiadat mengangkat sumpah jawatan perdana menteri di Istana Negara, Kuala Lumpur malam tadi.

“Jadi kami akan melalui proses sewajarnya bagi memperoleh pengampunan buat Anwar,” katanya pada satu sidang media di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, pengampunan penuh itu bermakna Anwar juga akan dibebaskan serta merta dan boleh terus mengambil bahagian sepenuhnya dalam politik.

Kuasa mutlak untuk membuat pengampunan tersebut terletak di bawah Agong.

Menurut pakar perlembagaan, ia tertakluk sepenuhnya atas budi bicara baginda kerana Agong tidak boleh dipaksa untuk memulakan mesyuarat pengampunan atau membuat keputusan.

Rais Yatim yang juga bekas menteri dan penasihat kerajaan berkata, baginda boleh memanggil individu yang diperkenankannya untuk menghadiri mesyuarat pengampunan tersebut.

Ia termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kata Rais.

Anwar dipenjarakan pada 2015 selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar dipecat dari jawatan bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada tahun 1998 atas tuduhan salah guna kuasa.

Pada ketika ini, Anwar merupakan ketua umum PKR dan ketua umum Pakatan Harapan. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen