3 penjawat tinggi awam jadi sasaran Dr Mahathir


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad mensasarkan tiga pegawai tertinggi kerajaan, yang membayangkan jawatan mereka mungkin akan ditamatkan tidak lama lagi.

Nama pertama dalam senarai itu adalah Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, yang katanya “mencemarkan kredibilitinya sendiri”.

Beliau memberi isyarat yang Apandi mungkin tidak berkuasa lama, kerana pernah bersekongkol dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Kita perlu melihat siapa peguam negara itu. Pada masa ini, peguam negara melemahkan kredibiliti sendiri.

“Beliau mempunyai bukti tersembunyi mengenai salah laku dan ia salah di sisi undang-undang. Kita perlu melakukan apa yang dibenarkan oleh undang-undang negara ini,” kata Dr Mahathir dalam sidang akhbar hari ini.

Apandi membebaskan Najib daripada sebarang salah laku dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dua tahun lalu.

Dr Mahathir juga membayangkan akan ada perubahan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami akan mengkaji sama ada SPRM adil atau tidak. Jika kita mendapati ia berat sebelah atau memihak kepada mana-mana kumpulan, termasuk kami, kita perlu mengubahnya,” kata Dr Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Hashim Abdullah adalah antara senarai penjawat awam tertinggi yang mungkin diganti.

“Jika kita mengetahui ia (SPR) terlibat dalam amalan rasuah, berat sebelah dan semua itu, kita perlu mengambil tindakan terhadapnya.”

Dr Mahathir turut menegaskan sebarang perubahan yang dibuat kepada ketua agensi atau jabatan kerajaan akan dilakukan apabila Parlimen diadakan semula.

“Seperti yang dijanjikan, ketua-ketua kerajaan baru akan dilantik oleh Parlimen.” – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen